Tuesday 29 November 2011

Ceramah Sambutan Maal Hijrah 1433 H

Sempena Maal Hijrah yang baru kita tempuhi beberapa hari lalu, Surau Taman Selasih akan mengadakan ceramah Maal Hijrah yang akan disamaikan oleh penceramah terkemuka iaitu Ustaz Haji Mohd Izhar Ariff Bin Haji Mohd Kassim.

JAMUAN MAKAN DI SEDIAKAN.
MUSLIMIN MUSLIMAT DI JEMPUT HADIR!!

Thursday 24 November 2011

MENGAPA TIDAK DIMINUM TERUS DARI KENDINYA?




Kisah ini diambil dari blog Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir.
Tertarik dengan satu risalah yang saya terima daripada seorang rakan. Risalah tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru di sebuah pesantren di Indonesia.
Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.
Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf , yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah menuduh bahawa para ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya.
Benarlah kata para ulama :
Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita semua. Kisahnya begini :
Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.
Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?
Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.
Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?
Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.
Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”
Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”
Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,
Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?
Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.
Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?
Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .
Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.
Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.
Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.
Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?
Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.
Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.
Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?
Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.
Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?
Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.
Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?
Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.
Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.
Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?
Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”
Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”
Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”
Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.
Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .
Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

Thursday 17 November 2011

Dosa - dosa di facebook dan laman sosial





Dosa Di Facebook - Manusia Kini Tidak Malu Menunjukkan Dosa-dosa Mereka
Golongan fasik (tidak layak menjadi contoh dan pemimpin) semakin berani!

Facebook mengundang dosa yang tidak terkira banyaknya. Dosa-dosa ini menunggu masa untuk dilakukan menerusi Facebook. Tanpa kita sedari, Facebook yang menjadi kegilaan ramai umat manusia pada hari ini sama seperti Friendster, MySpace, Hi5, Person, Flixster dan lain-lain laman web sosial, turut mengundang dosa kepada pemilik akaun, pengunjung dan penggunanya. Berikut adalah senarai dosa besar dan dosa kecil yang mungkin telah dilakukan oleh pengguna-pengguna facebook sama ada secara sedar atau tidak:
Golongan fasik semakin berani mendedahkan
gambar aurat mereka
 kepada khalayak umum

DOSA AKIBAT MENGGUNAKAN FACEBOOK - Mendedahkan aurat diri sendiri
Di pejabat, di luar rumah dan di sekolah, mungkin kita lihat mereka ini menutup aurat. Namun di dalam Facebook, gambar-gambar mereka yang tidak menutup aurat terdedah. Antara aurat yang kerap didedahkan ialah rambut bagi wanita, dan lutut bagi lelaki. Manakala bahagian yang melampau untuk didedahkan adalah apabila ada segolongan wanita yang sanggup menayangkan gambar-gambar mereka berbikini, berpakaian mandi sehingga menampakkan peha, buah dada, lurah buah dada, pusat dan sebagainya. Golongan fasik seperti ini semakin berleluasa. Tidak cukup di dunia nyata, mereka sanggup menyebarkan pula aksi-aksi mereka di dalam internet untuk tontonan ramai, tidak kira kawan-kawan atau pun orang yang tidak dikenali.

Bukan sahaja orang Barat, orang Asia kini tidak segan silu bergambar
dalam keadaan berbikini tidak kira di pantai atau di kolam mandi

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Mencarut, maki-hamun dan mencerca orang lain
Dosa seperti ini selalunya dilakukan oleh golongan kanak-kanak, namun tidak terkecuali juga golongan yang sudah akil baligh. Pelbagai lontaran kata-kata kesat ditaip di ruangan komentar dan wallpost, di mana semua ini menjatuhkan maruah.

Golongan fasik rasa hebat bila dapat bergambar
sambil berpegang-pegangan tangan

DOSA AKIBAT MENGGUNAKAN FACEBOOK - Aksi tidak bermoral, mungkar dan mengaibkan
Sesetengah pengguna Facebook suka memaparkan aksi tidak sopan mereka bersama golongan bukan muhrim. Ada yang bergambar dalam keadaan separuh bogel dengan golongan bukan muhrim, ada yang memeluk atau melakukan aksi intim atau mesra terhadap golongan bukan muhrim seperti peluk-memeluk, meletakkan kepala di atas bahu bukan muhrim, bergambar rapat-rapat antara lelaki dan perempuan bukan muhrim, bermanja-manja dan sebagainya yang dianggap tidak senonoh dan tidak patut dipertontonkan ke khalayak ramai. Apatah lagi, mereka sanggup merakamkan aksi tersebut dalam bentuk video dan gambar foto. Amat memalukan! Mungkin golongan fasik ini merasakan hebat atau bangga kerana mereka dapat melakukan perkara-perkara seperti di atas tetapi ketahuilah, hakikatnya gambar-gambar mereka itu memaparkan kehinaan mereka.


Golongan fasik lelaki dan perempuan bukan muhrim tidak segan silu bergambar 
sambil bersentuhan badan, bermanja-manja atau berpeluk-pelukan

DOSA AKIBAT MENGGUNAKAN FACEBOOK - Kata-kata kasar dan menyakitkan hati orang lain
Alangkah memalukan apabila konflik dan pergaduhan terbawa-bawa ke laman web sosial. Ramai mata menyaksikan perkataan-perkataan negatif tertulis di ruangan komen dan wallpost. Kata-kata ini pula kekal sehingga berhari-hari lamanya dan mungkin berbulan-bulan lamanya sekiranya tidak dipadamkan.

Golongan fasik akan memfitnah dan mencerca orang yang lantang menegur
mereka
 supaya orang yang menegur mereka itu malu dan dibenci golongan fasik yang lain

DOSA AKIBAT MENGGUNAKAN FACEBOOK - Mendedahkan keaiban suami atau isteri
Alangkah bodohnya seorang suami atau seorang isteri apabila sanggup mendedahkan keaiban pasangan hidup sendiri di internet. Bukan sahaja menambahkan dosa, malah memalukan diri sendiri dan pasangan hidup.

Golongan fasik secara semula jadi akan membenci orang yang
suka menyebarkan kata-kata kebaikan, teguran dan nasihat.

DOSA AKIBAT MENGGUNAKAN FACEBOOK - Menyamar menjadi orang lain
Di dalam dunia ini masih ada golongan yang sangat pelik kerana sanggup membuang masa untuk menyamar dan memperdayakan orang lain. Antara tujuan mereka melakukan penyamaran ini adalah untuk mempermain-mainkan orang lain, merisik maklumat tertentu menerusi orang lain atau memecah-belahkan orang-orang tertentu. Ada juga yang bertujuan menumpang populariti orang tertentu dengan menyamar menjadi orang tertentu. Betapa hina dan tidak bermaruahnya tindakan orang seperti ini. Dosa mereka bertambah apabila ada tindakan atau aksi mereka yang boleh memberi nama buruk kepada individu asal.

Golongan fasik terang-terang melakukan kemungkaran dan maksiat. Mereka
akan mempertahankan 
orang yang melakukan kemungkaran, dan membenci
serta memburuk-burukkan orang-orang 
yang kerap menegur mereka.

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Dosa makan gaji buta semasa waktu bekerja
Ada segelintir pengguna Facebook yang ketagih bermain facebook sehingga sanggup membuka facebook pada masa lapang. Tambahan pula kini terdapat pula versi facebook yang khusus untuk dibuka dan dilayari menerusi telefon pintar seperti iPhone, BlackBerry dan sebagainya. Dengan adanya fungsi seperti ini, maka semakin rapatlah pengguna-pengguna Facebook dengan dunia Facebook. Permainan-permainan online yang dipaparkan di dalam Facebook pula menambahkan lagi kelalaian bagi pengguna-pengguna Facebook yang tegar. Kerja-kerja pejabat tidak terurus dan hasil kerja menjadi kurang berkualiti.

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Membuang duit di Facebook
Bagi pengguna-pengguna Facebook yang ketagih bermain permainan online di dalam Facebook, mereka sanggup mengeluarkan duit sebagai jalan pintas untuk menjadi lebih hebat dan kuat, bagi membeli peralatan yang cuma wujud dalam permainan tersebut. Bagi pengguna-pengguna yang tidak ada talian internet pula, mereka mungkin lebih suka membuang masa di pusat-pusat siber atau kafe internet.

Golongan fasik apabila ditegur, mereka akan tetap melakukannya kecuali jika
perbuatan itu mendatangkan kerugian (hal duniawi) pada diri mereka

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Mengutuk diri sendiri, memburuk-buruk, atau mempersendakan ulama, ibu bapa, guru dan agama.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tindakan bodoh seorang pengguna Facebook yang sanggup mengeluarkan kenyataan mahu membunuh seorang ulama di sebuah negara, di mana kenyataannya itu sangat-sangat menimbulkan rasa sedih di kalangan umat Islam. Tidak kurang juga Facebook menjadi medan untuk individu tertentu mengutuk ibu bapa, guru-guru dan mengeluarkan kata-kata yang menghina agama. Kebiasaannya mereka akan mengutuk atau memburuk-burukkan individu-individu yang terdapat dalam satu-satu gambar. Mangsa yang dikutuk biasanya adalah guru-guru, atau individu yang sering memerhati dan menegur atau menghalang mereka daripada melakukan kemungkaran seperti pengetua, guru penolong kanan, guru disiplin, ustaz-ustazah, ulama dan sebagainya.

Tanda-tanda golongan fasik adalah terang-terang melakukan maksiat dan
kemungkaran
. Mereka tergamak memalukan ulama, guru-guru dan
orang-orang yang memberi nasihat
.

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Biadab dan kurang ajar, gurauan berunsurkan maksiat
Salah satu dosa yang paling kerap dilakukan sama ada secara sedar atau tidak. Sesetengah gurauan kadangkala menyinggung perasaan orang tertentu secara terang-terangan dan menimbulkan malu atau menjatuhkan maruah orang-orang tertentu.

Golongan fasik merasa hebat melakukan kemungkaran

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Menyokong perkara-perkara mungkar dan menyalahi agama

Antara salah satu dosa yang kerap dilakukan oleh pengguna Facebook adalah dengan menyokong atau menunjukkan sokongan terhadap laman-laman yang berunsur menyokong kemungkaran, menghina Islam dan laman-laman yang menjurus kepada maksiat atau kumpulan yang bertemakan maksiat dan hiburan. Mereka memuja-muja golongan mungkar ini dan secara terang-terangan menunjukkan sokongan mereka terhadap kewujudan kumpulan-kumpulan atau aktiviti-aktiviti seperti ini.

Tanpa segan silu, golongan fasik ini mempromosikan kemungkaran mereka
menerusi gambar-gambar mereka di internet, dan mereka berbangga dengannya

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Mempromosikan kemungkaran dan mempertahankannya

Ada juga pihak yang sanggup mempromosikan kemungkaran. Contohnya dua individu, lelaki dan perempuan yang tidak ada pertalian darah. Apabila ditegur, mereka memarahi orang yang menegur. Mereka mengatakan mereka adalah adik-beradik (adik-beradik angkat masih bukan muhrim) oleh itu mereka konon-kononnya boleh bersentuh-sentuhan. Malah ada yang lebih teruk sanggup memfitnah orang yang menegur, mereka-reka cerita terhadap orang yang menegur supaya orang yang ditegur itu dibenci oleh golongan seangkatannya. Antara tuduhan dan keaiban berat yang pernah dilakukan adalah apabila orang yang menegur itu sama jantina dengan orang yang ditegur, mereka menuduhnya cemburu dengan hubungan mungkar mereka berdua, lalu mengatakan orang yang menegur itu sebagai homoseks dan sebagainya untuk mengaibkan orang yang ditegur supaya tidak menegur perbuatan mungkar mereka. Bagi mereka apabila lelaki dan perempuan rapat-rapat maka itu adalah persaudaraan dan normal, sebaliknya apabila dua lelaki berbaik atau saling mengambil berat atau saling menasihati, itu dianggap homoseks. Betapa jahatnya golongan fasik dan mungkar ini dalam memastikan kemungkaran dan kefasikan terus mendapat tempat.

Golongan fasik hidup dalam kesenangan tetapi dimurkai Allah
Sesetengah golongan mungkar ini merasakan mereka tidak bersalah kerana mereka sering mendapat kenikmatan, kemewahan dan sebagainya lalu mereka merasakan mereka berada di pihak yang benar. Hakikatnya mereka tidak sedar bahawa kesemua itu telah Allah berikan kepada mereka tanpa mendapat keredhaan Allah, dan sesungguhnya golongan seperti ini akan rugi di akhirat kelak kerana dosa mereka mengaibkan orang yang cuba membawa mereka ke jalan yang benar. Maka orang-orang yang beriman, janganlah kamu berasa Allah itu tidak adil, apabila melihat golongan mungkar menaiki kenderaan mewah, mendapat kesenangan dan bebas melakukan kemaksiatan kerana sesungguhnya mereka itu adalah golongan yang bakal mendapat seksaan yang pedih di akhirat kelak kerana dosa, kemungkaran dan kederhakaan yang telah mereka lakukan kepada ibu bapa, guru-guru, ulama-ulama dan Tuhan mereka.

Friday 11 November 2011

Kisah seorang nabi, si penunggang kuda dan seorang yang miskin (hikmah di sebalik kejadian)

Di ceritakan bahawa seorang nabi Allah mengerjakan ibadah diatas bukit yang berhampiran dengan mata air. Tiba-tiba lalu seorang penunggang kuda untuk minum air di mata air itu.setelah itu, penunggang kuda itu berlalu pergi, namun dia terlupa akan beg duitnya yang berisi seribu wang emas.


Kemudian orang lain datang ke mata air itu dan mengambil beg dompet penunggang kuda itu dan berlalu pergi. seketika itu, datang pula seorang miskin yang memikul kayu api. Dia meminum air mata air  lalu berbaring dan berehat. Setelah itu, penunggang kuda yang tertinggal beg dompet tadi datang semula ke mata air tadi untuk mengambil barangnya, namun dompetnya telah tiada.






Lalu si penunggang kuda itu menangkap dan menyeksa si miskin itu untuk menuntut haknya. Namun dia tetap tidak dapat dompetnya kembali. Kemudian, penunggang kuda tadi membunuh si miskin itu.


Nabi allah yang menyaksikan kejadian itu bertanya pada Allah mengapa ini semua terjadi. Orang yang mengambil dompet itu adalah orangh lain, tetapi orang yang di zalimi dan dibunuh pula orang yang tidak bersalah. Maka Allah berfirman, " Berbimbanglah dikau dengan amal ibadat yang engkau lakukan. Bukan pekerjaan engkau untuk mengetahui rahsia kerajaan Allah Taala. Bahawasanya orang miskin itu dahulunya pernah membunuh ayah si penunggang kuda itu, maka Aku membalasnya dengan dibunuh oleh si penunggang kuda.


Manakala sewaktu ayah si penunggang kuda masih hidup, dia pernah mengambil seribu wang emas milik si pengambil dompet milik penunggang kuda itu tadi. Maka Aku pulangkan semula wang nya"


Dari kisah ini, jelaslah segala yang berlaku telah ditakdirkan oleh Allah dan hanya Allah yang tahu setiap hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Kita sebagai hamba perlulah beribadat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengingati mati sebanyak banyaknya. Kerana itu lebih bermanfaat daripada ingin mengetahui rahsia kerajaan Allah. 


-sumber dari buku PENAWAR BAGI HATI-

Majlis qurban 10 Zulhijjah 1432 H

Sempena ketibaan 10 Zulhijjah 1432 H, Surau Taman Selasih Port Dickson telah berjaya menjayakan majlis ibadah kurban seperti tahun-tahun sebelumnya (Alhamdulillah). Pada tahun ini, sebanyak 5 ekor lembu telah ditumbangkan dengan izin Allah. Majlis ini telah dijayakan secara bergotong royong oleh ahli qariah taman selasih. 


5 ekor lembu yang bakal di qurbankan
Majlis telah dilaksanakan dari pukul 9 setengah pagi dan selesai menjelang waktu zohor. Penyembelihan lembu telah di laksanakan oleh imam 3 surau taman selasih iaitu imam Azmi dan di bantu oleh ahli qariah.Kerja melapah, memotong daging dan tulang dan menimbang serta membungkus daging telah di laksanakan secara bergotong royong oleh jemaah lelaki.


Alhamdulillah..satu dah tumbang..
Kerja melapah
Bersama-sama memotong daging dan tulang
Seperti tahun - tahun yang sudah, selepas majlis qurban diselesaikan, sedikit majlis tahlil dan jamuan akan diadakan. Para muslimat pula bergotong royong 
untuk menyediakan jamuan untuk ahli qariah.


Sup tulang...dan jamuan makan
Semoga tahun akan datang, majlis seperti ini akan diadakan lagi demi memperingati kisah pengorbanan nabi  Allah Ibrahim dan anaknya nabi Ismail selain merapatkan hubungan silaturrahim sesama muslim.