Wednesday 21 May 2014

MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ DITUNDA

HARAP MAKLUM....SURAU TAMAN SELASIH INGIN MEMAKLUMKAN KEPADA SEMUA BAHAWA MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ YANG TELAH DIRANCANG UNTUK DIADAKAN PADA 31 MEI 2014 TELAH DITUNDA KE 3 JUN 2014. INI ADALAH KERANA SEBAB-SEBAB YANG TIDAK DAPAT DIELAKKAN.

INSYA ALLAH DATO USTAZ ISMAIL KAMUS AKAN MEMBERIKAN CERAMAH PERDANA SELEPAS SOLAT MAGHRIB SEMPENA DENGAN MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ KALI INI.

Monday 12 May 2014

SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ BERSAMA DENGAN USTAZ DATUK ISMAIL KAMUS

                                             
Kami ingin memaklumkan bahawa majlis sambutan Israk dan Mikraj pada tahun ini akan diadakan di Surau Taman Selasih pada hari Sabtu 31 Mei 2014.

Kemuncak kepada majlis sambutan Israk dan Mikraj pada kali ini ialah acara Ceramah Perdana yang akan disampaikan oleh penceramah tersohor dan tidak asing lagi iaitu Yang Berbahagia Ustaz Dato’ Ismail Kamus sebaik sahaja selepas selesai solat maghrib.

Semua muslimin dan muslimat dekat dan jauh dijemput hadir untuk memeriahkan lagi sambutan majlis yang bersejarah ini.

MENTAUHIDKAN ALLAH MENEGAKKAN KALIMAH LAA ILA HA ILLALLAH


MENTAUHIDKAN ALLAH, MENEGAKKAN KALIMAH
‘LAA ILA HA ILLALLAH’

USTAZ AZHAR IDRUS

(Petikan dan sedutan dari kuliah maghrib yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Azhar Idrus di Kampung Kuala Sungai Baharu, Melaka pada 14 Jamadil Akhir 1435H/
14 April 2014 yang terpaksa diadakan di tanah lapang / padang rumput kerana tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk mengadakannya di masjid)

“SIAPAKAH YANG LEBIH ZALIM DARI ORANG YANG MENGHALANG ORANG LAIN DARI MENGIMARAHKAN RUMAH ALLAH? MEREKA ITU ADALAH ORANG YANG SANGAT ZALIM”

“KAMI SUDAH SEDIAKAN KEPADA SESIAPA YANG ZALIM DI DUNIA, NERAKA UNTUK MEREKA DI AKHIRAT NANTI. API NERAKA ADA DI DEPAN DAN BELAKANG MEREKA, DI ATAS DAN DI BAWAH MEREKA”

MUQADDIMAH

Antara kata-kata akhir peninggalan Nabi Besar kita Muhammad s.a.w. sebelum kewafatan Baginda ialah “aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, itulah Kitab Allah (iaitu Al Quraan) dan Sunnahku (hadis-hadis Nabi)”. Selagi kita berpegang kepada kitab Al Quraan dan patuh kepada hadis-hadis Nabi s.a.w., insyaAllah kita akan mendapat hidayah dari Allah s.w.t. dan sentiasa berada di jalan yang benar. Orang yang tidak berpegang dengan Al Quraan dan tidak patuh kepada hadis-hadis Nabi s.a.w., mereka itu tidak akan mendapat hidayah dari Allah s.w.t. dan mereka berada di jalan yang sesat. Allah s.w.t. memberitahu kepada kita, orang yang sesat akan dihumbankan ke dalam api neraka di akhirat nanti.

TIKET UNTUK MASUK SYURGA ALLAH

Semua ugama di dunia ini mengajar penganut mereka supaya bercita-cita untuk masuk syurga, baik ugama Buddha, Kristian, Hindu, Yahudi dan sebagainya. Tidak ada ugama di dunia mengajar umatnya untuk pergi ke neraka. Begitu juga dengan ugama Islam. Allah menghantarkan Rasul-rasulNya supaya mengajar manusia cara-cara untuk masuk ke syurga. Ini adalah kerana di dalam syurga Allah penuh dengan kesenangan dan kenikmatan. Walau bagaimana pun, hendak masuk ke syurga tidak semudah yang disangka, ianya memerlukan tiket. Nabi Muhammad s.a.w. ada memberitahu 10 orang sahabat Baginda yang sudah mendapat tiket untuk masuk ke syurga Allah. Bagi kita yang belum mendapat tiket, kenalah membeli tiket itu melalui ugama, iaitu dengan mengikuti ajaran Al Quraan, hadis-hadis Nabi s.a.w., Qiyas dan juga Ijmak Ulamak.

Dalam kata lain, untuk mendapatkan syurga Allah s.w.t., kita perlulah mengikut ugama Allah sepenuhnya dan menegakkannya dalam diri serta kehidupan kita. Kalau kita betul-betul hendak masuk syurga, ikutlah Al Quraan dan hadis-hadis nabi.

DENGAR KATA ULAMAK DALAM HAL-HAL BERKAITAN AKHIRAT

Jika sekiranya dalam urusan dunia kita ada pakar masing-masing, seperti bomba untuk memadamkan api dan menyelamat, mekanik untuk membaiki kereta, doktor untuk mengubati orang sakit, dalam hal-hal akhirat kita juga ada pakar, iaitu ulamak-ulamak yang berilmu yang boleh mengajar, membimbing dan membentuk kita dalam hal-hal ugama dan yang berkaitan dengan akhirat. Pada masa yang sama, ulamak boleh membetulkan segala kekurangan kita dalam kehidupan menuju redha Allah s.w.t. Ulamak juga boleh mengajar kita tentang aqidah, akhlak, syariat dan sebagainya, bagi membimbing kita supaya dapat masuk syurga. Masalahnya masyarakat kita sekarang ini tidak suka dengar pendapat dan pandangan ulamak dalam hal-hal akhirat, bahkan pergi bertanya dan mendapatkan pandangan dari kalangan yang bukan ahli ugama serta alim ulamak.

Kalau kita tidak mendengar kata-kata ulamak yang mengajar kita supaya mengikuti Al Quraan dan hadis-hadis Nabi, kita akan menjadi sesat. Dan orang yang sesat akan masuk neraka, tak kira siapa kita, orang besar atau orang kecil, orang miskin atau orang kaya, dan sebagainya.

MENEGAKKAN KALIMAH LAA ILA HA ILLALLAH DALAM KEHIDUPAN KITA

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda “kalimah terbaik yang aku sebut dan nabi-nabi sebelum aku sebut ialah kalimah laa ila ha illallah”.

Penyebutan kalimah laa ila ha illallah bukanlah hanya sekadar kita sebut dimulut sahaja, semasa majlis-majlis tahlil, sebagai ucapan zikir dan sebagainya, tetapi tujuan sebenar kita menyebut kalimah laa ila ha illallah ini berulang-ulang dalam kehidupan kita ialah supaya mentauhidkan Allah s.w.t. di dalam kehidupan kita, dan juga supaya kehidupan kita tidak menyengutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain.

Contoh menyengutukan Allah s.w.t. ialah menganggapkan doktor yang baik dan ubat-ubatan yang mahal dapat menyembuhkan penyakit, bomoh mempunyai kuasa mengubat, duit dapat menjamin kebahagiaan dan kesenangan hidup di masa akan datang, sijil pelajaran dapat menjamin kemewahan hidup dan sebagainya. Ini semua hanyalah usaha dan ikhtiar kita dan Allah sahajalah yang menjamin dan menentukan segala-galanya.

Kita juga tidak mahu menjadi orang yang kerap mengucap kalimah laa ila ha illallah tetapi pada masa yang sama masih tetap dan berterusan mensyirikkan Allah s.w.t. dengan menyandarkan harapan dan kesetiaan kepada yang lain selain dari Allah s.w.t., dengam merasa rezeki kita dikawal oleh orang lain dan sebagainya. Kita jadilah orang yang mentauhidkan Allah s.w.t. dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki, semua anggota tubuh badan kita tidak takut melainkan kepada Allah s.w.t. semata-mata.

Tiada siapa yang dapat menentukan serta menjamin masa depan kita, rezeki kita, miskin kita, kaya kita, sihat kita, sakit kita, melainkan dengan keupayaan dan sifat Uluhiyyah Allah yang boleh menjamin masa depan kita.

Dengan kalimah laa ila ha illallah juga kita boleh memahami bahawa tidak ada sesuatu atau seseorangpun yang dapat memberi munafaat ataupun mudarat kepada kita, melainkan Allah s.w.t. sahaja. Semua kita ini milik Allah s.w.t., jadi kita wajib takut kepada Allah s.w.t. dan janganlah takut kepada yang lain, kepada manusia dan sebagainya.

BILA KITA JAUH DARI AL QURAAN DAN HADIS

Umat Islam di akhir zaman sekarang ini boleh diibaratkan sebagai buih-buih sahaja, banyak tapi tidak bernilai. Ini adalah kerana kita jauh dari Al Quraan dan Hadis-hadis Nabi s.a.w. dan pemikiran kita juga terlalu sibuk memikirkan soal-soal dunia sehingga kita lupa langsung untuk berfikir tentang hal-hal akhirat. Kita hanya seronok mencari hasanah di dunia dan tak terfikir langsung untuk sibuk mencari hasanah di akhirat, sedangkan itu tuntutan Allah s.w.t. kepada kita. Kita menjadi umat yang mendewa-dewakan duit dan kemewahan sehingga taraf penilaian seseorang di dalam masyarakat bergantung kepada banyak mana duit yang dia ada dan harta yang dia miliki. Yang tidak memiliki harta, walaupun berilmu, akan terpinggir dan di pandang sepi oleh masyarakat. Kadang-kadang, kita terlalu sibuk bekerja dan mencari harta serta kehidupan mewah dunia, sehingga kita lupa langsung untuk belajar ilmu ugama, untuk mencari bekalan ke akhirat nanti. Kita sibuk dengan urusan dunia sehingga kita lupa kepada perjalanan ke akhirat, sedangkan Allah s.w.t. setiap masa memerhati kita, melihat perjalanan hidup kita, sehingga sampai masa kita dipanggil pulang. Kadang-kadang, hanya bila pencen kita baru mula nak kenal agama. Alangkah ruginya kita umat Islam di akhir zaman ini.

Di samping itu juga, oleh kerana kita sudah terlalu jauh dengan agama, jauh dengan Al Quraan dan hadis, kita lebih suka menerima benda-benda yang karut dan menyesatkan, dan meninggalkan ajaran-ajaran agama yang sememangnya baik untuk kita. Kita terima apa yang disampaikan oleh musuh-musuh Allah dan kita tolak apa yang diceritakan oleh ulamak dari pengajaran-pengajaran Al Quraan dan hadis. Apabila kita tidak belajar ugama, kita mudah diperdaya dan disesatkan oleh golongan-golongan yang jahat dan yang bermusuh dengan Islam. Hatta, golongan yang berilmu ugama pun boleh disesatkan dengan imbuhan kewangan, kemewahan, populariti dan sebagainya, sebagai upah untuk tidak mengajarkan Islam yang sebenar kepada umat Islam.

Kita juga akan jadi orang yang takut dengan makhluk, dan nampak seolah-olah makhluk itu berkuasa ke atas kita. Apabila kita mati nanti, apabila kita masuk ke dalam kubur, kita akan berpaling dari kiblat, kerana hidup kita di dalam syirik kepada Allah s.w.t.

PENUTUP

Nabi Muhammad s.a.w. pernah memberitahu “aku diutuskan oleh Allah untuk menegakkan kalimah tauhid, untuk menceritakan tentang halal dan haram, untuk menegakkan laa ila ha illallah, untuk menegakkan Islam, dengan apa cara sekali pun, sehinggalah dengan menggunakan mata pedang dan peperangan”. Maka dengan itu, ambillah nasihat dari hadis Nabi s.a.w. ini, betulkanlah tauhid kita, mantapkanlah aqidah kita, belajarlah agama, tegakkanlah Islam di dalam diri dan kehidupan kita, dan bermujahadahlah untuk menegakkan Islam di atas mukabumi Allah ini. Semoga Allah s.w.t. memberikan kita hidayah untuk bersama-sama dengan mereka yang berusaha untuk menegakkan agama Allah s.w.t. di bumiNya ini dan memberikan kita iltizam untuk beristiqamah di jalanNya ini. InsyaAllah, aamin yaa robbal ‘aalamiin.