Sunday 13 December 2015

MAKLUMAN AWAL - TARIKH MESYUARAT AGUNG SURAU TAMAN SELASIH 2016

Kami dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa tarikh mesyuarat agung Surau Taman Selasih sudah ditetapkan untuk diadakan pada 16 Januari 2016 (hari Sabtu). Agenda utama dalam mesyuarat agung ini ialah pemilihan baru saf kepimpinan Ahli Jawatan Kuasa Surau Taman Selasih bagi sesi 2016 - 18. Semua jemaah surau serta penduduk Taman Selasih akan dijemput untuk beramai-ramai menghadiri mesyuarat agung ini bagi memilih saf kepimpinan surau yang baru ini. Surat-surat jemputan secara rasmi akan dikeluarkan sebelum hujung bulan Disember ini, InsyaAllah.

Friday 6 November 2015

MAKLUMAN AWAL - MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1437H

Kami ingin memaklumkan bahawa majlis sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini akan diadakan pada hari Sabtu 26 Disember 2015. Kemuncak kepada majlis sambutan ini ialah satu acara Ceramah Perdana yang akan diadakan di sebelah malam, selepas solat maghrib. Penceramah jemputan pada kali ini ialah Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, mantan Presiden Persatuan Ulamak Malaysia dan kini Presiden Sekretariat Himpunan Ulamak Rantau Asia (SYURA). Makluman lanjut akan diberikan dari masa ke semasa. Sekian, Terimakasih

Monday 2 November 2015

AKTIVITI AKAN DATANG

SAMBUTAN MAULIDUR-RASUL 1437H YANG DIJANGKA DIADAKAN PADA PENGHUJUNG BULAN DISEMBER 2015

Monday 12 October 2015

CERAMAH PERDANA SEMPENA DENGAN SAMBUTAN RASMI MAJLIS AWAL MUHARRAM / MAAL HIJRAH 1437H DI SURAU TAMAN SELASIH

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1437 HIJRAH

13 OKTOBER 2015 Menjelang waktu maghrib nanti, tibalah sudah kita ke tahun hijrah yang baru iaitu 1437 Hijrah. Bermakna sudah 1437 tahun Nabi besar kita Muhammad s.a.w. memulakan perjalanan meninggalkan Mekah ke alam pengembaraan yang baru ke Madinah, bagi menguatkan serta mengembangkan lagi syiar Islam sehingga tertegaknya Islam yang syumul, bagi dari segi amal ibadat persendirian, aturan-aturan kehidupan sehinggalah kepada pemerintahan negara yang mencakupi segala macam hukum-hakamnya. Semoga kita dapat bersama-sama dengan semangat, iltizam dan kekuatan serta kesungguhan Nabi Muhammad s.a.w. serta para-para sahabatnya dalam menegakkan ugama Allah di bumiNya ini. InsyaAllah. Petang ini, selepas solat asar, Surau Taman Selasih akan mengadakan majlis sambutan tahun baru hijrah ini, yang akan dimulakan dengan acara marhaban/berzanji, serta diikuti oleh majlis tahlil dan doa selamat, dan diakhiri dengan membaca doa akhir tahun secara berjemaah. Selepas solat maghrib pula akan diadakan acara membaca doa awal tahun, juga secara berjemaah. Kami menjemput mana-mana jemaah yang berkelapangan supaya dapat meluangkan masa untuk menghadiri majlis ini, bagi menambahkan lagi rasa kemeriahan dan keceriaannya, serta kegembiraan kita menyambut tahun baru dalam kalendar Islam. Sekian terimakasih

Sunday 27 September 2015

TAHNIAH DAN SYABAS KEPADA JEMAAH HAJI

Dengan berakhirnya proses ibadah haji di tanah suci, Surau Taman Selasih ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua jemaah-jemaah haji, terutama sekali yang berasal dari Malaysia. Kami mendoakan semoga tuan-puan jemaah haji sekelian mendapat ganjaran haji yang mabrur. Kami juga mendoakan kepada Allah semoga semua jemaah-jemaah haji ini pulang ke Malaysia dalam keadaan selamat dan sejahtera serta sentiasa beriqamah dengan Islam sebagaimana tuan-puan berada di tanah suci, dengan menjaga amal-ibadah, perbuatan, tutur-kata dan yang seumpamanya sehingga akhir hayat. InsyaAllah! Kepada ahli keluarga yang menunggu, berilah sokongan kepada jemaah haji yang pulang nanti agar mereka dapat beristiqamah dengan ugama dalam suasan yang solehah tanpa dilalai dan diduga dengan bentuk-bentuk keduniaan serta segala macam gangguannya. Wassalam.

Monday 7 September 2015

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR

Surau Taman Selasih ingin mengucapkan selamat kepada semua adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan UPSR bermula esok. Kami doakan semoga adik-adik semua dapat menjawab dengan baik dan mendapat keputusan yang cemerlang. InsyaAllah.

Wednesday 19 August 2015

MAJLIS SOLAT HAJAT DAN BACAAN YAASIN SEMPENA DENGAN KEDATANGAN MUSIM PEPERIKSAAN ANAK-ANAK (UPSR, PT3, SPM DLL)

Kami ingin memaklumkan bahawa Surau Taman Selasih akan mengadakan majls solat hajat serta bacaan Surah Yaasin sempena dengan peperiksaan-peperiksaan yang bakal diduduki oleh anak-anak kariah di bulan-bulan yang akan datang. Majlis ini akan diadakan pada hari Khamis (malam Jumaat) 21 Ogos 2015, selepas solat maghrib. Semua ibu-bapa serta anak-anak kariah Taman Selasih yang bakal mengambil peperiksaan besar pada tahun ini adalah dijemput untuk menyertai majlis ini, semoga mendapat keberkatan dan kerahmatan dari Allah swt semasa menduduki peperiksaan masing-masing nanti. Sedikit hidangan ringan akan disediakan selepas majlis berakhir. Sekian, terimakasih.

Monday 3 August 2015

KULIAH ILMU

Kuliah-kuliah agama dan majlis ilmu bermula semula di Surau Taman Selasih selepas direhatkan semasa bulan Ramadhan dan Syawal.Berikut ialah kuliah-kuliah maghrib yang dijadualkan untuk minggu ini: Hari ini 3/8/2015 - Ustaz Mahfuz Roslan​ Khamis 6/8/2015 - Ustaz Kasim Jumaat 7/8/2015 - Ustaz Juhaimi Sekian

Thursday 9 July 2015

MAJLIS KHATAM AL QURAAN - 14 JULAI 2015 / 27 RAMADHAN 1436 SELEPAS SOLAT ASAR

Kami ingin memaklumkan bahawa Majlis Khatam Al Quraan akan diadakan pada 14 Julai 2015 / 27 Ramadhan 1436H selepas solat asar. Ini akan diikuti dengann majlis berbuka puasa beramai-ramai. Semua jemaah yang berkelapangan dijemput hadir.

Wednesday 24 June 2015

BELASUNGKAWA ALLAHYARHAM USTAZ HASSAN AL HAFIZ, PENGETUA DAN PENGASAS PUSAT TAHFIZ AT TOHIRIYAH, TAMAN SELASIH, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN.

Selepas selesai solat terawih malam tadi, jemaah Surau Taman Selasih telah bersama-sama menyertai anak-anak pelajar tahfiz untuk mengadakan majlis tahlil arwah kepada Allahyarham Ustaz yang telah dijemput pulang untuk bertemu Pemiliknya malam semalam, dalam keadaan pengakhiran yang kita boleh andaikan sebagai "husnul khatimah". Semasa hayatnya, Allahyarham Ustaz, disamping menjadi pengasas dan pentadbir sekolah tahfiz, beliau juga pernah menjadi pengerusi Surau Taman Selasih seketika waktu dahulu, serta menjadi imam di surau. Malah, beberapa minggu sebelum mengakhiri hayatnya, Allahyarham Ustaz masih megajar di Surau Taman Selasih pada setiap malam Selasa, membacakan kitab Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub (Peringatan Buat Hati Yang Lalai). (Kami difahamkan bahawa adik ipar beliau, Ustaz Adha, sudahpun memberikan kesediaan untuk menyambung pembelajaran kitab ini seketiadaan beliau...alhamdulillah). Bagi Surau Taman Selasih, pemergian ini adalah merupakan satu kehilangan yang besar. Kami tidak dapat lagi menimba ilmu serta mendengar pegajarannya, yang kami kira amat bernilai, amat bermutu dan tepat dengan kehendak Allah swt. Pada kami, Allahyarham Ustaz Hassan Al Hafiz adalah merupakan seorang pejuang Islam yang sejati, yang nawaitu hidupya hanyalah satu, iaitu mengembangkan syiar Islam serta menegakkan Agama Allah di bumiNya ini di dalam bentuk kesyumulannya, secara total dan menyeluruh tanpa meninggalkan apa-apapun yang terkandung di dalam pengajarannya. Beliau adalah seorang tokoh yang kami sanjung dalam mendokong konsep "amal maaruf dan nahi mungkar, dalam membentuk keadilan sejagat, dalam menentang kezaliman dan ketidak-adilan, serta juga dalam membentuk kami di kariah Taman Selasih supaya menjadi hamba Allah yang lebih baik dan memperbetulkan aqidah kami supaya benar-benar menegakkan kalimah La Ila ha Illallah. Wa akhiri, kami iringi pemergian Allahyarham Ustaz yang kami sayangi ini dengan doa dan pengharapan semoga semua jasa-jasanya, perjuangannya, kesungguhannya serta istiqamahnya, tidak dipandang sepi oleh Allah swt., bahkan diberikannya limpah kurniaNya, kesenangan dan ketenangan di alam barzakh serta ditempatkannya bersama-sama para-para anbiya' dan pejuang-pejuang agama yang lain, serta orang-orang yang salih dan yang dikasihi oleh Allah swt di akhirat nanti. InsyaAllah. Ya Allah, sepeninggalan Ustaz yang kami sayangi ini, janganlah Kau pinggirkan kariah Taman Selasih ini, biarlah ada pengganti yang akan berusaha untuk mengembangkan syiar ugamaMu di kalangan kami. Amin Ya Robbal Aalamiin...

Friday 19 June 2015

AHLAN WA SAHLAN YAA MARHABAN YAA RAMADHAN

Surau Taman Selasih ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan Yang Mulia Lagi Barokah kepada semua Muslimin dan Muslimat. Sama-samalah kita berpuasa serta menambahkan amal-ibadat yang lain (seperti membaca mentadabbur Al Quraan) semoga kita dapat menjadi insan-insan yang bertaqwa kepada Allah swt. Setakat yang termampu dan terdaya, kami telah menyediakan kemudahan-kemudahan yang baik di Surau Taman Selasih bagi menambahkan keselesaan dan keceriaan jemaah untuk beramal-ibadat di Surau, terutama sekali untuk bersolat terawih berjemaah. Di samping itu, janganlah segan untuk menyertai program tadarrus kami yang akan diadakan pada setiap malam (bermula dengan malam ini) sebaik sahaja selesai hidangan ringan moreh. Kami juga ingin menjemput semua jemaah jauh dan dekat untuk bersama-sama menyertai kami di surau untuk berbuka puasa beramai-ramai pada hari Jumaat ini (2 Ramadhan 1436H/19 Jun 2015M) yang dianjurkan oleh salah seorang ahli kariah surau. (Program-program lain akan diberitahu kelak secara berterusan apabilaa kami mendapat maklumat lengkap).

Friday 5 June 2015

PEMASANGAN AIR-CON DI SURAU TAMAN SELASIH

Alhamdulillah, pemasangan air-con di Surau Taman Selasih telah pun siap dengan sepenuhnya. Bermula dari malam ini, operasi percubaan akan dimulakan. Kami jangkakan tidak ada apa-apa masalah. . Kami ingin mengucapkan jutaan terimakasih kepada semua yang meyumbang kepada surau hingga berjayanya projek air-con ini dilaksanakan sebelum tibanya bulan Ramadhan yang mulia nanti. Semoga Allah menambah rezeki Tuan/Puan semua dan melipat-gandakan anugerah pahala di akhirat kelak. Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terimakasih kepada pihak syarikat Double MHZ Enterprise (kelolaan Sdra Nohd Hafiz Othman) yang telah sudi untuk bekerja-sama dengan surau untuk mempastikan pemasangan air-con ini dapat dilakukan dalam keadaan yang baik, pantas dan teratur. Kami juga doakan semoga syarikat ini akan dapat berkembang maju, diberikan keberkatan dan dimurahkan rezeki sentiasa. Amin! . Sekian, Terimakasih

Friday 22 May 2015

PEMASANGAN AIR-CON DI SURAU TAMAN SELASIH SEMPENA DENGAN KETIBAAN BULAN RAMADHAN YANG MULIA

Surau Taman Selasih kini dalam proses pemasangan air-con di surau, yang kami harap disiapkan sebelum tibanya bulan Ramadhan yang mulia nanti. Syarikat pemasangan sudah pun dilantik. Sekiranya diizinkan oleh Allah, insyaAllah ibadat di dalam bulan puasa nanti akan boleh dilakukan dengan lebih selesa.

Monday 18 May 2015

Tuan Guru Dato' Dr Haji Haron Din Al Hafiz di Surau Taman Selasih sempena dengan Majlis Di Ambang Ramadhan 1436H.

Kami sedang berusaha untuk membawa ulamak tersohor di Malaysia ini pada pertengahan pertengahan bulan Jun depan. Kalau berjaya, InsyaAllah Tuan Guru Haron Din akan ada bersama kita di Majlis Ambang Ramadhan 1436H nanti. . Ini adalah makluman awal. Doakan semoga Allah mempermudahkan urusan ini dan memberi kelapangan, kesihatan dan kekuatan kepada Tuan Guru untuk hadir ke majlis itu nanti. InsyaAllah

Monday 27 April 2015

MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ 1436H

Kami ingin memaklumkan bahawa Majlis Sambutan Israk dan Mikraj di Surau Taman Selasih pada tahun ini akan diadakan pada hari Saabtu 16 Mei 2015. Acara kemuncak sambutan ini ialah Ceramah Perdana Israk dan Mikraj yang akan disampaikan sebaik sahaja selesai solat Maghrib oleh penceramah jemputan tersohor di nusantara ini iaitu YBhg Ustaz Drs Nursalam Abdul Mutalib Al Hafiz. YBhg Ustaz adalah Mudir Maahad Tahfiz Darul Huffaz, Lampung, Sumatera, Indonesia. Kami dengan ini menjemput semua umat Islam di sekitar daerah Port Dickson (jauh dan dekat) supaya dapat hadir ke majlis yang gilang gemilang ini. Terimakasih

Tuesday 21 April 2015

Selamat menyambut kedatangan bulan Rejab....

Sedar tak sedar, sudah dua hari rupanya kita berada di dalam bulan Rejab. Tahniah kepada sesiapa yang sudah mulai berpuasa dari semalam. Bulan Rejab sebenarnya adalah rangkaian 3 bulan di dalam Islam di mana tuntutan supaya amalan dilipat gandakan...iaitu Rejab, Syaaban dan seterusnya Ramadhan. Tentu ramai yang tahu tentang doa Nabi Muhammad saw yang popular apabila tibanya bulan Rejab iaitu: Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaabaan, dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan. Sempena dengan kedatangan bulan-bulan yang mulia yang 3 serangkai ini, marilah kita mula menambahkan serta meningkat amalan kita sehingga ke kemuncaknya di bulan Ramadhan Al Mubarak nanti. Insya Allah

Wednesday 8 April 2015

MAKLUMAN AWAL : SAMBUTAN MAJLIS ISRAK DAN MIKRAJ 1436H

KAMI BERBESAR HATI INGIN MEMAKLUMKAN BAHAWA SAMBUTAN MAJLIS ISRAK DAN MIKRAJ PADA TAHUN INI AKAN DISAMBUT PADA 16 MEI 2015 (HARI SABTU). MAJLIS INI AKAN DISERIKAN DENGAN KEHADIRAN YBHG USTAZ DR NURSALAM ABDUL MUTALIB AL HAFIZ, MUDIR MAAHAD TAHFIZ DARUL HUFFAZ, LAMPUNG, SUMATERA, INDONESIA. USTAZ NURSALAM AKAN MENYAMPAIKAN CERAMAH ISRAK DAN MIKRAJ SEBAIK SAHAJA SELEPAS SOLAT MAGHRIB. HARAP MAKLUM.

Saturday 7 March 2015

PERTANDINGAN LIGA BOLASEPAK 7 SEBELAH "PIALA PENGERUSI SURAU TAMAN SELASIH"

Kami ingin memaklumkan bahawa sempena dengan cuti sekolah minggu hadapan, Surau Taman Selasih ingin menganjurkan satu pertandingan bolasepak 7 sebelah "Piala Pengerusi Surau Taman Selasih". Pertandingan ini terbuka kepada semua remaja dan anak-anak (lelaki sahaja) yang berusia 15 tahun ke bawah. Borang penyertaan boleh diambil dari Setiausaha Surau atau pun Pengurus Kejohanan iaitu Sdra Fazle. Penyertaan adalah percuma. Hadiah bagi juara ialah RM150, manakala naib juara dan tempat ke tiga masing-masing akan mendapat RM100 dan RM75. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 20/3/2015

Tuesday 24 February 2015

RAYUAN SUMBANGAN UNTUK MEMBAIK-PULIH SURAU TAMAN SELASIH SEMPENA DENGAN KEDATANGAN BULAN RAMADHAN 1436H

Sebagai persiapan awal sempena dengan kedatangan bulan Ramadhan 1436H Al Mubarak pada bulan Jun 2015 nanti, pihak pengurusan Surau Taman Selasih bercadang untuk menyiapkan beberapa perancangan untuk membaik-pulih keadaan surau bagi menyediakan tempat ibadah yang lebih selesa di bulan puasa nanti. Di antaranya ialah menyiapkan tandas dan tempat mengambil wuduk wanita, menyediakan alat pendingin hawa (air-con), dan menukar ganti sistem pembesar suara surau supaya lebih kuat dan berkesan. Bagi merialisasikan perancangan membaik-pulih surau ini, kami sekarang dalam rangka untuk mendapatkan dana. Kepada mana-mana pihak, samada individu, syarikat, organisasi atau pun korporat, yang berkelapangan, kami berharap agar Tuan/Puan dapat menghulurkan sumbangan, sekadar yang mampu. Doa, cita-cita serta harapan kami ialah semoga Allah mengizinkan supaya perancangan membaik-pulih ini dapat diselesaikan sebelum tibanya bulan Ramadhan, supaya jemaah di bulan puasa nanti dapat beribadah dengan lebih selesa dan sejahtera. Sumbangan boleh diberikan secara terus ke tabung surau atau pun melalui cek di atas nama "Surau Taman Selasih" atau pun memasukkan secara terus ke dalam akaun kami di Bank Islam Cawangan Port Dickson. No akaun Surau Taman Selasih ialah 0504901003888. Di atas derma, infaq serta sumbangan Tuan/Puan itu kami terlebih dahulu ingin mengucapkan ribuan terimakasih serta mendoakan semoga Allah swt memurahkan lagi rezeki Tuan/Puan di dunia ini dan melipat-gandakan pahala Tuan/Puan di akhirat nanti. Sekian, Terimakasih.

Thursday 12 February 2015

TAKZIAH DI ATAS PEMERGIAN TUAN GURU DATO' NIK AZIZ

Surau Taman Selasih dengan penuh dukacita ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Tuan Guru serta seluruh pejuang dan pendokong gerakan Islam, di atas kepulangan Tuan Guru ke rahmatullah. Semoga roh Tuan Guru Nik Aziz dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa dan pemergiannya yang baik di malam jumaat ini (husnul khatimah) diredhai oleh semua. Al Fatihah.

Friday 9 January 2015

Perarakan Maulidur Rasul Surau Taman Selasih - 17 Januari 2015

Sempena dengan kedatangan Maulidur Rasul pada tahun 1436 Hijrah ini, Surau Taman Selasih akan menganjurkan satu majlis sambutan bagi meraikan Maulidur Rasul ini pada hari Sabtu 17 hb Januari 2015. Acara kemuncak kepada majlis sambutan ini ialah Perarakan Maulidur Rasul yang akan diadakan sebaik sahaja selepas solat Asar, diikuti dengan persembahan marhaban/berzanji, selawat, dan qasidah. Pada sebelah malamnya, majlis akan diteruskan dengan majlis bacaan yaasin dan tahlil, dan akan diakhiri dengan jamuan makan malam. Semua yang berdekatan dijemput hadir bagi memeriahkan lagi sambutan majlis dan perarakan Maulidur Rasul kali ini.