Wednesday 24 June 2015

BELASUNGKAWA ALLAHYARHAM USTAZ HASSAN AL HAFIZ, PENGETUA DAN PENGASAS PUSAT TAHFIZ AT TOHIRIYAH, TAMAN SELASIH, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN.

Selepas selesai solat terawih malam tadi, jemaah Surau Taman Selasih telah bersama-sama menyertai anak-anak pelajar tahfiz untuk mengadakan majlis tahlil arwah kepada Allahyarham Ustaz yang telah dijemput pulang untuk bertemu Pemiliknya malam semalam, dalam keadaan pengakhiran yang kita boleh andaikan sebagai "husnul khatimah". Semasa hayatnya, Allahyarham Ustaz, disamping menjadi pengasas dan pentadbir sekolah tahfiz, beliau juga pernah menjadi pengerusi Surau Taman Selasih seketika waktu dahulu, serta menjadi imam di surau. Malah, beberapa minggu sebelum mengakhiri hayatnya, Allahyarham Ustaz masih megajar di Surau Taman Selasih pada setiap malam Selasa, membacakan kitab Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub (Peringatan Buat Hati Yang Lalai). (Kami difahamkan bahawa adik ipar beliau, Ustaz Adha, sudahpun memberikan kesediaan untuk menyambung pembelajaran kitab ini seketiadaan beliau...alhamdulillah). Bagi Surau Taman Selasih, pemergian ini adalah merupakan satu kehilangan yang besar. Kami tidak dapat lagi menimba ilmu serta mendengar pegajarannya, yang kami kira amat bernilai, amat bermutu dan tepat dengan kehendak Allah swt. Pada kami, Allahyarham Ustaz Hassan Al Hafiz adalah merupakan seorang pejuang Islam yang sejati, yang nawaitu hidupya hanyalah satu, iaitu mengembangkan syiar Islam serta menegakkan Agama Allah di bumiNya ini di dalam bentuk kesyumulannya, secara total dan menyeluruh tanpa meninggalkan apa-apapun yang terkandung di dalam pengajarannya. Beliau adalah seorang tokoh yang kami sanjung dalam mendokong konsep "amal maaruf dan nahi mungkar, dalam membentuk keadilan sejagat, dalam menentang kezaliman dan ketidak-adilan, serta juga dalam membentuk kami di kariah Taman Selasih supaya menjadi hamba Allah yang lebih baik dan memperbetulkan aqidah kami supaya benar-benar menegakkan kalimah La Ila ha Illallah. Wa akhiri, kami iringi pemergian Allahyarham Ustaz yang kami sayangi ini dengan doa dan pengharapan semoga semua jasa-jasanya, perjuangannya, kesungguhannya serta istiqamahnya, tidak dipandang sepi oleh Allah swt., bahkan diberikannya limpah kurniaNya, kesenangan dan ketenangan di alam barzakh serta ditempatkannya bersama-sama para-para anbiya' dan pejuang-pejuang agama yang lain, serta orang-orang yang salih dan yang dikasihi oleh Allah swt di akhirat nanti. InsyaAllah. Ya Allah, sepeninggalan Ustaz yang kami sayangi ini, janganlah Kau pinggirkan kariah Taman Selasih ini, biarlah ada pengganti yang akan berusaha untuk mengembangkan syiar ugamaMu di kalangan kami. Amin Ya Robbal Aalamiin...

No comments:

Post a Comment