Wednesday 24 June 2015

BELASUNGKAWA ALLAHYARHAM USTAZ HASSAN AL HAFIZ, PENGETUA DAN PENGASAS PUSAT TAHFIZ AT TOHIRIYAH, TAMAN SELASIH, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN.

Selepas selesai solat terawih malam tadi, jemaah Surau Taman Selasih telah bersama-sama menyertai anak-anak pelajar tahfiz untuk mengadakan majlis tahlil arwah kepada Allahyarham Ustaz yang telah dijemput pulang untuk bertemu Pemiliknya malam semalam, dalam keadaan pengakhiran yang kita boleh andaikan sebagai "husnul khatimah". Semasa hayatnya, Allahyarham Ustaz, disamping menjadi pengasas dan pentadbir sekolah tahfiz, beliau juga pernah menjadi pengerusi Surau Taman Selasih seketika waktu dahulu, serta menjadi imam di surau. Malah, beberapa minggu sebelum mengakhiri hayatnya, Allahyarham Ustaz masih megajar di Surau Taman Selasih pada setiap malam Selasa, membacakan kitab Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub (Peringatan Buat Hati Yang Lalai). (Kami difahamkan bahawa adik ipar beliau, Ustaz Adha, sudahpun memberikan kesediaan untuk menyambung pembelajaran kitab ini seketiadaan beliau...alhamdulillah). Bagi Surau Taman Selasih, pemergian ini adalah merupakan satu kehilangan yang besar. Kami tidak dapat lagi menimba ilmu serta mendengar pegajarannya, yang kami kira amat bernilai, amat bermutu dan tepat dengan kehendak Allah swt. Pada kami, Allahyarham Ustaz Hassan Al Hafiz adalah merupakan seorang pejuang Islam yang sejati, yang nawaitu hidupya hanyalah satu, iaitu mengembangkan syiar Islam serta menegakkan Agama Allah di bumiNya ini di dalam bentuk kesyumulannya, secara total dan menyeluruh tanpa meninggalkan apa-apapun yang terkandung di dalam pengajarannya. Beliau adalah seorang tokoh yang kami sanjung dalam mendokong konsep "amal maaruf dan nahi mungkar, dalam membentuk keadilan sejagat, dalam menentang kezaliman dan ketidak-adilan, serta juga dalam membentuk kami di kariah Taman Selasih supaya menjadi hamba Allah yang lebih baik dan memperbetulkan aqidah kami supaya benar-benar menegakkan kalimah La Ila ha Illallah. Wa akhiri, kami iringi pemergian Allahyarham Ustaz yang kami sayangi ini dengan doa dan pengharapan semoga semua jasa-jasanya, perjuangannya, kesungguhannya serta istiqamahnya, tidak dipandang sepi oleh Allah swt., bahkan diberikannya limpah kurniaNya, kesenangan dan ketenangan di alam barzakh serta ditempatkannya bersama-sama para-para anbiya' dan pejuang-pejuang agama yang lain, serta orang-orang yang salih dan yang dikasihi oleh Allah swt di akhirat nanti. InsyaAllah. Ya Allah, sepeninggalan Ustaz yang kami sayangi ini, janganlah Kau pinggirkan kariah Taman Selasih ini, biarlah ada pengganti yang akan berusaha untuk mengembangkan syiar ugamaMu di kalangan kami. Amin Ya Robbal Aalamiin...

Friday 19 June 2015

AHLAN WA SAHLAN YAA MARHABAN YAA RAMADHAN

Surau Taman Selasih ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan Yang Mulia Lagi Barokah kepada semua Muslimin dan Muslimat. Sama-samalah kita berpuasa serta menambahkan amal-ibadat yang lain (seperti membaca mentadabbur Al Quraan) semoga kita dapat menjadi insan-insan yang bertaqwa kepada Allah swt. Setakat yang termampu dan terdaya, kami telah menyediakan kemudahan-kemudahan yang baik di Surau Taman Selasih bagi menambahkan keselesaan dan keceriaan jemaah untuk beramal-ibadat di Surau, terutama sekali untuk bersolat terawih berjemaah. Di samping itu, janganlah segan untuk menyertai program tadarrus kami yang akan diadakan pada setiap malam (bermula dengan malam ini) sebaik sahaja selesai hidangan ringan moreh. Kami juga ingin menjemput semua jemaah jauh dan dekat untuk bersama-sama menyertai kami di surau untuk berbuka puasa beramai-ramai pada hari Jumaat ini (2 Ramadhan 1436H/19 Jun 2015M) yang dianjurkan oleh salah seorang ahli kariah surau. (Program-program lain akan diberitahu kelak secara berterusan apabilaa kami mendapat maklumat lengkap).

Friday 5 June 2015

PEMASANGAN AIR-CON DI SURAU TAMAN SELASIH

Alhamdulillah, pemasangan air-con di Surau Taman Selasih telah pun siap dengan sepenuhnya. Bermula dari malam ini, operasi percubaan akan dimulakan. Kami jangkakan tidak ada apa-apa masalah. . Kami ingin mengucapkan jutaan terimakasih kepada semua yang meyumbang kepada surau hingga berjayanya projek air-con ini dilaksanakan sebelum tibanya bulan Ramadhan yang mulia nanti. Semoga Allah menambah rezeki Tuan/Puan semua dan melipat-gandakan anugerah pahala di akhirat kelak. Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terimakasih kepada pihak syarikat Double MHZ Enterprise (kelolaan Sdra Nohd Hafiz Othman) yang telah sudi untuk bekerja-sama dengan surau untuk mempastikan pemasangan air-con ini dapat dilakukan dalam keadaan yang baik, pantas dan teratur. Kami juga doakan semoga syarikat ini akan dapat berkembang maju, diberikan keberkatan dan dimurahkan rezeki sentiasa. Amin! . Sekian, Terimakasih