Saturday 19 July 2014

Kelebihan Hari-Hari Terakhir Ramadhan - Kuliah Subuh oleh Ustaz Juhaimi

Petikan dari kuliah subuh yang diadakan pada 20 Julai 2014 (23 Ramadhan 1435H) sempena dengan program sambutan Nuzul Al Quraan di Surau Taman Selasih. Muqaddimah Kita sudah pun berada di hari-hari terakhir bulan Ramadhan 1435H, hari-hari yang pada masa dahulu sangat ditunggu-tunggu dan direbut-rebut oleh para salafussolihin untuk menambahkan serta melipat-gandakan amal-ibadah mereka (yang tentunya jauh lebih banyak dan lebih baik dari amal ibadah kita di akhir zaman ini.). Sangat banyak kelebihan-kelebihan yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada kita umat Nabi Muhammad s.a.w. yang kita akan dapat lihat jika diselidik dan diteliti dengan matahati. Lailatul Qadar Salah satu kelebihan yang paling utama (yang boleh menjadi sebagai pemangkin untuk kita menambahkan amal-ibadah di hari-hari akhir Ramadhan ini) ialah anugerah Lailatul Qadar yang sememangnya sudah menjadi pengetahuan umum tentang kelebihan beribadah di malamnya yang melebihi 1000 bulan (83 tahun) di masa-masa lain. Jadi, walaupun kita diberi umur yang pendek oleh Allah s.w.t. kita berpeluang mempunyai pahala amal-ibadat seperti orang-orang yang terdahulu dari kita, seperti Anas bin Malik yang hidup selama 200 tahun, Abu Hurairah (100 tahun) dan Nabi Nuh yang dikatakan hidup lebih dari 1000 tahun. Inilah kelebihan serta keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Halangan serta cabaran untuk beramal di malam-malam terakhir Ramadhan Sangat jarang orang-orang yang boleh beramal ibadat dengan banyak dan berlipat-ganda di 10 malam terakhir Ramadhan. Ini adalah kerana paksi urusan kehidupan kebanyakan kita sudah mula beralih ke arah perkara-perkara yang lain seperti kesibukan persediaan untuk menyambut hari raya aidil fitri, membeli-belah, keperluan anak-anak serta keluarga di hari raya nanti serta kesibukan urusan duniawi kita seperti perniagaan, pekerjaan dan yang lain-lain. Ini adalah sesuatu yang amat merugikan kerana kita menyempitkan peluang kita untuk berjumpa dengan Lailatul Qadar dalam keadaan kita beramal-ibadat kepada Allah s.w.t. Siti Aishah r.a. menyatakan bahawa beliau yakin Lailatul Qadar itu datang pada malam 27 Ramadhan. Ulamak-ulamak yang lain pula berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu akan datang pada malam-malam ganjil di 10 terakhir seperti malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Walau apa pun pandangan dan pendapat mereka, luaskan peluang kita untuk bertemu dengan Lailatul Qadar ini dengan menyempurnakan serta memaksimakan amal-ibadat kita di setiap malam di 10 terakhir ini. Hidupkanlah malam-malam kita dengan qiyamullail, samada beriktikaf di masjid atau beribadat di rumah kita sendiri. (Nota: diharap tidak ada pihak-pihak yang memandang rendah, lekeh atau menyusahkan jika ada mana-mana jemaah tua atau muda yang ingin beriktikaf di surau. Berbaik sangkalah dengan mereka). Ada sesetengah ulamak menyatakan beribadat sepanjang malam itu bukanlah bermaksud kita betul-betul beribadat secara fizikal sepanjang-panjang malam tanpa tidur, rehat dan sebagaimananya kerana secara umumnya itu adalah di luar batasan kemampuan kita. Tetapi yang dimaksudkan beribadat sepanjang malam itu cukuplah sekadar kita bersembahyang terawih, sembahyang tahajjud beberapa rakaat serta bersahur. Memanglah Allah s.w.t. ini sangat pemurah dan besar rahmatNya, dengan ibadat yang sedikit ini sudah dikira dan diberikan ganjaran seolah-oleh kita beramal ibadat sepanjang malam. Cara beribadat mengikut kegemaran dan keselesaan masing-masing. Imam Abu Hanifah pernah menyatakan “kebaikan itu banyak cabang, masuklah mana-mana cabang yang kamu selesa dengannya. Maksudnya, jika kita hendak beramal, pilih lah amal-ibadat yang kita suka dan gemar serta selesa mengerjakannya. Ada orang lebih gemar membaca Al Quraan (memang ini yang terbaik) tetapi ada orang lebih gemar berzikir, bertafakkur serta mengingati Allah dengan cara yang begitu, bahkan ada orang lebih seronok bersembahyang sunat tak berhenti-henti. Pilihlah mana-mana amal kebaikan yang kita suka untuk menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan ini. InsyaAllah rahmat Allah, kasih-sayangNya serta anugerahNya akan menaungi kita. Pembebasan dari siksa api neraka Pada malam-malam terakhir begini Allah s.w.t. membebaskan dari azab siksa api neraka orang-orang yang nama-nama mereka sudahpun tertulis di pintu neraka sebagai ahli neraka, kerana amal-ibadah mereka. Malam-malam terakhir ini juga Allah s.w.t. melepaskan mereka dari siksa azab kubur. Jadi, kita ambillah peluang ini. Jangan kita jadi seperti orang-orang yang dapat masuk Ramadhan tetapi tetapi tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang tidak diampunkaan dosa-dosa mereka oleh Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t. banyak mengampunkan manusia di bulan Ramadhan ini dengan RahmatNya. Allah s.w.t. berfirman “sasih-sayangKu melebihi kemurkaanKu” dan “katakanlah (wahai Muhammad), Aku adalah Tuhan yang maha pengampun dan maha pengasih, dan aku juga mempunyai azab yang amat pedih.” Rahmat Allah s.w.t. sangat-sangat banyak di 10 terakhir Ramadhan ini, jangan sia-siakannya, dapatlah keampunan dari Allah s.w.t. serta pembebasan dari api neraka dan siksa kubur. Jangan tewas dengan dorongan hawa-nafsu Yang perlu kita buat ialah bersungguh-sungguh untuk beramal di malam-malam terakhir Ramadhan ini dengan amal-amal soleh yang kita senang dan selesa dengannya. Amat rugilah jika kita tak buat, tak beramal dan tewas dengan dugaan serta dorongan hawa nafsu. Tanda tewasnya kita dengan dorongan hawa nafsu itu ialah dengan sunyinya surau-surau dan masjid-masjid di malam-malam terakhir Ramadhan, yang pada awalnya penuh melimpah. Ini adalah kerana orang ke surau dan masjid untuk berterawih hanya kerana mengikut tradisi dan mengikut perbuatan orang lain, bukan dengan ketaqwaan dan kesediaan untuk menambah berat timbangan (MIZAN) amal-ibadatnya di akhirat nanti, supaya dapat menyelamatkan diri dari siksa api neraka, dapat masuk ke syurga Allah, perkampungan abadi yang kekal selama-lamanya. Ramadhan sebagai medan latihan Bulan Ramadhan adalah sebenarnya medan yang sebaik-baiknya untuk kita berlumba-lumba mencari pemburuan amal, berlumba-lumba untuk mencari kebaikan. Dan kita tidak perlu buat banyak, yang melebihi dari kemampuan kita. Amal yang disukai oleh Allah s.w.t. ialah amal yang berkekalan, walaupun sedikit. Teruskanlah ibadah-ibadah yang baaik-baik yang kita laksanakan di bulan Ramadhan ini hingga ke luar bulan Ramadhan. Jika kita dapat bersembahyang terawih di bulan Ramadhan, natijah dari latihan terawih itu semoga kita dapat sembahyang ba’diah isyak (2 atau pun sebaik-baiknya 4 rakaat) selepas bulan Ramadhan nanti. Jika di bulan Ramadhan ini kita sembahyang witir sebanyak 3 rakaat, apa salahnya selepas bulan Ramadhan nanti kita teruskan juga amalam witir ini, walaupun sekurang-kurangnya 1 rakaat (dikatakan 1 rakaat solat witir akan disambut oleh beribu-ribu malaikat). Penutup Semoga kita dapat melipat-gandakan amal kebaikan kita di malam-malam terakhir Ramadhan ini, yang penuh dengan rahmat dan anugerah dari Allah s.w.t. sebelum bulan Ramadhan ini berlalu pergi. Pastikan juga kita dapat berjumpa dengan Lailatul Qadar dalam keadaan kita beramal-ibadah kepada Allah. Dan janganlah kita tewas dengan dorongan hawa nafsu dan kesibukan dunia di malam-malam terakhir Ramadhan ini yang akan menyebabkan kita hilang fokus dan tumpuan untuk beramal kepada Allah s.w.t. Akhir sekali, jadikanlah Ramadhan ini sebagai medan itu kita melatih diri untuk istiqomah dan meneruskan amalan-amalan yang baik selepas bulan Ramadhan nanti. Semoga kita dapat berjumpa lagi dengan Ramadhan tahun hadapan. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment