Thursday, 29 May 2014
Wednesday, 21 May 2014
MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ DITUNDA
HARAP MAKLUM....SURAU TAMAN SELASIH INGIN MEMAKLUMKAN KEPADA SEMUA BAHAWA MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ YANG TELAH DIRANCANG UNTUK DIADAKAN PADA 31 MEI 2014 TELAH DITUNDA KE 3 JUN 2014. INI ADALAH KERANA SEBAB-SEBAB YANG TIDAK DAPAT DIELAKKAN.
INSYA ALLAH DATO USTAZ ISMAIL KAMUS AKAN MEMBERIKAN CERAMAH PERDANA SELEPAS SOLAT MAGHRIB SEMPENA DENGAN MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ KALI INI.
INSYA ALLAH DATO USTAZ ISMAIL KAMUS AKAN MEMBERIKAN CERAMAH PERDANA SELEPAS SOLAT MAGHRIB SEMPENA DENGAN MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ KALI INI.
Monday, 12 May 2014
SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ BERSAMA DENGAN USTAZ DATUK ISMAIL KAMUS
Kami ingin memaklumkan bahawa majlis sambutan Israk dan Mikraj pada tahun ini akan diadakan di Surau Taman Selasih pada hari Sabtu 31 Mei 2014.
Kemuncak kepada majlis sambutan Israk dan Mikraj pada kali ini ialah acara Ceramah Perdana yang akan disampaikan oleh penceramah tersohor dan tidak asing lagi iaitu Yang Berbahagia Ustaz Dato’ Ismail Kamus sebaik sahaja selepas selesai solat maghrib.
MENTAUHIDKAN ALLAH MENEGAKKAN KALIMAH LAA ILA HA ILLALLAH
MENTAUHIDKAN ALLAH, MENEGAKKAN
KALIMAH
‘LAA ILA HA ILLALLAH’
USTAZ AZHAR
IDRUS
(Petikan dan sedutan dari kuliah
maghrib yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Azhar Idrus di Kampung
Kuala Sungai Baharu, Melaka pada 14 Jamadil Akhir 1435H/
14 April 2014 yang terpaksa diadakan
di tanah lapang / padang rumput kerana tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa
untuk mengadakannya di masjid)
“SIAPAKAH YANG LEBIH ZALIM DARI ORANG
YANG MENGHALANG ORANG LAIN DARI MENGIMARAHKAN RUMAH ALLAH? MEREKA ITU ADALAH
ORANG YANG SANGAT ZALIM”
“KAMI SUDAH SEDIAKAN KEPADA SESIAPA
YANG ZALIM DI DUNIA, NERAKA UNTUK MEREKA DI AKHIRAT NANTI. API NERAKA ADA DI
DEPAN DAN BELAKANG MEREKA, DI ATAS DAN DI BAWAH MEREKA”
MUQADDIMAH
Antara kata-kata akhir
peninggalan Nabi Besar kita Muhammad s.a.w. sebelum kewafatan Baginda ialah
“aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya
selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, itulah Kitab Allah (iaitu Al Quraan)
dan Sunnahku (hadis-hadis Nabi)”. Selagi kita berpegang kepada kitab Al Quraan
dan patuh kepada hadis-hadis Nabi s.a.w., insyaAllah kita akan mendapat hidayah
dari Allah s.w.t. dan sentiasa berada di jalan yang benar. Orang yang tidak berpegang
dengan Al Quraan dan tidak patuh kepada hadis-hadis Nabi s.a.w., mereka itu
tidak akan mendapat hidayah dari Allah s.w.t. dan mereka berada di jalan yang
sesat. Allah s.w.t. memberitahu kepada kita, orang yang sesat akan dihumbankan
ke dalam api neraka di akhirat nanti.
TIKET UNTUK MASUK SYURGA ALLAH
Semua ugama di dunia
ini mengajar penganut mereka supaya bercita-cita untuk masuk syurga, baik ugama
Buddha, Kristian, Hindu, Yahudi dan sebagainya. Tidak ada ugama di dunia
mengajar umatnya untuk pergi ke neraka. Begitu juga dengan ugama Islam. Allah
menghantarkan Rasul-rasulNya supaya mengajar manusia cara-cara untuk masuk ke
syurga. Ini adalah kerana di dalam syurga Allah penuh dengan kesenangan dan
kenikmatan. Walau bagaimana pun, hendak masuk ke syurga tidak semudah yang
disangka, ianya memerlukan tiket. Nabi Muhammad s.a.w. ada memberitahu 10 orang
sahabat Baginda yang sudah mendapat tiket untuk masuk ke syurga Allah. Bagi kita
yang belum mendapat tiket, kenalah membeli tiket itu melalui ugama, iaitu dengan
mengikuti ajaran Al Quraan, hadis-hadis Nabi s.a.w., Qiyas dan juga Ijmak
Ulamak.
Dalam kata lain, untuk
mendapatkan syurga Allah s.w.t., kita perlulah mengikut ugama Allah sepenuhnya
dan menegakkannya dalam diri serta kehidupan kita. Kalau kita betul-betul
hendak masuk syurga, ikutlah Al Quraan dan hadis-hadis nabi.
DENGAR KATA ULAMAK DALAM HAL-HAL BERKAITAN AKHIRAT
Jika sekiranya dalam
urusan dunia kita ada pakar masing-masing, seperti bomba untuk memadamkan api
dan menyelamat, mekanik untuk membaiki kereta, doktor untuk mengubati orang
sakit, dalam hal-hal akhirat kita juga ada pakar, iaitu ulamak-ulamak yang berilmu
yang boleh mengajar, membimbing dan membentuk kita dalam hal-hal ugama dan yang
berkaitan dengan akhirat. Pada masa yang sama, ulamak boleh membetulkan segala
kekurangan kita dalam kehidupan menuju redha Allah s.w.t. Ulamak juga boleh
mengajar kita tentang aqidah, akhlak, syariat dan sebagainya, bagi membimbing
kita supaya dapat masuk syurga. Masalahnya masyarakat kita sekarang ini tidak
suka dengar pendapat dan pandangan ulamak dalam hal-hal akhirat, bahkan pergi
bertanya dan mendapatkan pandangan dari kalangan yang bukan ahli ugama serta
alim ulamak.
Kalau kita tidak
mendengar kata-kata ulamak yang mengajar kita supaya mengikuti Al Quraan dan
hadis-hadis Nabi, kita akan menjadi sesat. Dan orang yang sesat akan masuk
neraka, tak kira siapa kita, orang besar atau orang kecil, orang miskin atau
orang kaya, dan sebagainya.
MENEGAKKAN KALIMAH LAA ILA HA ILLALLAH DALAM KEHIDUPAN KITA
Nabi Muhammad s.a.w.
pernah bersabda “kalimah terbaik yang aku sebut dan nabi-nabi sebelum aku sebut
ialah kalimah laa ila ha illallah”.
Penyebutan kalimah laa
ila ha illallah bukanlah hanya sekadar kita sebut dimulut sahaja, semasa
majlis-majlis tahlil, sebagai ucapan zikir dan sebagainya, tetapi tujuan
sebenar kita menyebut kalimah laa ila ha illallah ini berulang-ulang dalam
kehidupan kita ialah supaya mentauhidkan Allah s.w.t. di dalam kehidupan kita,
dan juga supaya kehidupan kita tidak menyengutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu
yang lain.
Contoh menyengutukan
Allah s.w.t. ialah menganggapkan doktor yang baik dan ubat-ubatan yang mahal dapat
menyembuhkan penyakit, bomoh mempunyai kuasa mengubat, duit dapat menjamin
kebahagiaan dan kesenangan hidup di masa akan datang, sijil pelajaran dapat
menjamin kemewahan hidup dan sebagainya. Ini semua hanyalah usaha dan ikhtiar
kita dan Allah sahajalah yang menjamin dan menentukan segala-galanya.
Kita juga tidak mahu
menjadi orang yang kerap mengucap kalimah laa ila ha illallah tetapi pada masa
yang sama masih tetap dan berterusan mensyirikkan Allah s.w.t. dengan
menyandarkan harapan dan kesetiaan kepada yang lain selain dari Allah s.w.t.,
dengam merasa rezeki kita dikawal oleh orang lain dan sebagainya. Kita jadilah
orang yang mentauhidkan Allah s.w.t. dari hujung rambut hinggalah ke hujung
kaki, semua anggota tubuh badan kita tidak takut melainkan kepada Allah s.w.t.
semata-mata.
Tiada siapa yang dapat
menentukan serta menjamin masa depan kita, rezeki kita, miskin kita, kaya kita,
sihat kita, sakit kita, melainkan dengan keupayaan dan sifat Uluhiyyah Allah
yang boleh menjamin masa depan kita.
Dengan kalimah laa ila
ha illallah juga kita boleh memahami bahawa tidak ada sesuatu atau seseorangpun
yang dapat memberi munafaat ataupun mudarat kepada kita, melainkan Allah s.w.t.
sahaja. Semua kita ini milik Allah s.w.t., jadi kita wajib takut kepada Allah
s.w.t. dan janganlah takut kepada yang lain, kepada manusia dan sebagainya.
BILA KITA JAUH DARI AL QURAAN DAN HADIS
Umat Islam di akhir
zaman sekarang ini boleh diibaratkan sebagai buih-buih sahaja, banyak tapi
tidak bernilai. Ini adalah kerana kita jauh dari Al Quraan dan Hadis-hadis Nabi
s.a.w. dan pemikiran kita juga terlalu sibuk memikirkan soal-soal dunia
sehingga kita lupa langsung untuk berfikir tentang hal-hal akhirat. Kita hanya
seronok mencari hasanah di dunia dan
tak terfikir langsung untuk sibuk mencari hasanah
di akhirat, sedangkan itu tuntutan Allah s.w.t. kepada kita. Kita menjadi
umat yang mendewa-dewakan duit dan kemewahan sehingga taraf penilaian seseorang
di dalam masyarakat bergantung kepada banyak mana duit yang dia ada dan harta
yang dia miliki. Yang tidak memiliki harta, walaupun berilmu, akan terpinggir
dan di pandang sepi oleh masyarakat. Kadang-kadang, kita terlalu sibuk bekerja
dan mencari harta serta kehidupan mewah dunia, sehingga kita lupa langsung
untuk belajar ilmu ugama, untuk mencari bekalan ke akhirat nanti. Kita sibuk
dengan urusan dunia sehingga kita lupa kepada perjalanan ke akhirat, sedangkan
Allah s.w.t. setiap masa memerhati kita, melihat perjalanan hidup kita,
sehingga sampai masa kita dipanggil pulang. Kadang-kadang, hanya bila pencen
kita baru mula nak kenal agama. Alangkah ruginya kita umat Islam di akhir zaman
ini.
Di samping itu juga,
oleh kerana kita sudah terlalu jauh dengan agama, jauh dengan Al Quraan dan
hadis, kita lebih suka menerima benda-benda yang karut dan menyesatkan, dan
meninggalkan ajaran-ajaran agama yang sememangnya baik untuk kita. Kita terima
apa yang disampaikan oleh musuh-musuh Allah dan kita tolak apa yang diceritakan
oleh ulamak dari pengajaran-pengajaran Al Quraan dan hadis. Apabila kita tidak
belajar ugama, kita mudah diperdaya dan disesatkan oleh golongan-golongan yang
jahat dan yang bermusuh dengan Islam. Hatta, golongan yang berilmu ugama pun
boleh disesatkan dengan imbuhan kewangan, kemewahan, populariti dan sebagainya,
sebagai upah untuk tidak mengajarkan Islam yang sebenar kepada umat Islam.
Kita juga akan jadi
orang yang takut dengan makhluk, dan nampak seolah-olah makhluk itu berkuasa ke
atas kita. Apabila kita mati nanti, apabila kita masuk ke dalam kubur, kita
akan berpaling dari kiblat, kerana hidup kita di dalam syirik kepada Allah
s.w.t.
PENUTUP
Nabi Muhammad s.a.w.
pernah memberitahu “aku diutuskan oleh Allah untuk menegakkan kalimah tauhid,
untuk menceritakan tentang halal dan haram, untuk menegakkan laa ila ha
illallah, untuk menegakkan Islam, dengan apa cara sekali pun, sehinggalah
dengan menggunakan mata pedang dan peperangan”. Maka dengan itu, ambillah
nasihat dari hadis Nabi s.a.w. ini, betulkanlah tauhid kita, mantapkanlah
aqidah kita, belajarlah agama, tegakkanlah Islam di dalam diri dan kehidupan
kita, dan bermujahadahlah untuk menegakkan Islam di atas mukabumi Allah ini.
Semoga Allah s.w.t. memberikan kita hidayah untuk bersama-sama dengan mereka
yang berusaha untuk menegakkan agama Allah s.w.t. di bumiNya ini dan memberikan
kita iltizam untuk beristiqamah di jalanNya ini. InsyaAllah, aamin yaa robbal
‘aalamiin.
Subscribe to:
Posts (Atom)