Wednesday, 6 August 2014

MAJLIS "RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI SURAU TAMAN SELASIH"

Surau Taman Selasih akan mengadakan majlis "Rumah Terbuka Aidil Fitri" pada hari ahad ini (10 Ogos 2014) dari pukul 11 pagi hingga ke pukul 3 petang. Semua penduduk Taman Selasih serta kawasan-kawasaan yang berdekatan adalah dijemput untuk hadir ke majlis ini. Sambil menjamu selera, kita dapat beramah mesra dan mengeratkan lagi ikatan silaturrahim dan ukhuwwah sesama kita.

Saturday, 19 July 2014

Kelebihan Hari-Hari Terakhir Ramadhan - Kuliah Subuh oleh Ustaz Juhaimi

Petikan dari kuliah subuh yang diadakan pada 20 Julai 2014 (23 Ramadhan 1435H) sempena dengan program sambutan Nuzul Al Quraan di Surau Taman Selasih. Muqaddimah Kita sudah pun berada di hari-hari terakhir bulan Ramadhan 1435H, hari-hari yang pada masa dahulu sangat ditunggu-tunggu dan direbut-rebut oleh para salafussolihin untuk menambahkan serta melipat-gandakan amal-ibadah mereka (yang tentunya jauh lebih banyak dan lebih baik dari amal ibadah kita di akhir zaman ini.). Sangat banyak kelebihan-kelebihan yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada kita umat Nabi Muhammad s.a.w. yang kita akan dapat lihat jika diselidik dan diteliti dengan matahati. Lailatul Qadar Salah satu kelebihan yang paling utama (yang boleh menjadi sebagai pemangkin untuk kita menambahkan amal-ibadah di hari-hari akhir Ramadhan ini) ialah anugerah Lailatul Qadar yang sememangnya sudah menjadi pengetahuan umum tentang kelebihan beribadah di malamnya yang melebihi 1000 bulan (83 tahun) di masa-masa lain. Jadi, walaupun kita diberi umur yang pendek oleh Allah s.w.t. kita berpeluang mempunyai pahala amal-ibadat seperti orang-orang yang terdahulu dari kita, seperti Anas bin Malik yang hidup selama 200 tahun, Abu Hurairah (100 tahun) dan Nabi Nuh yang dikatakan hidup lebih dari 1000 tahun. Inilah kelebihan serta keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Halangan serta cabaran untuk beramal di malam-malam terakhir Ramadhan Sangat jarang orang-orang yang boleh beramal ibadat dengan banyak dan berlipat-ganda di 10 malam terakhir Ramadhan. Ini adalah kerana paksi urusan kehidupan kebanyakan kita sudah mula beralih ke arah perkara-perkara yang lain seperti kesibukan persediaan untuk menyambut hari raya aidil fitri, membeli-belah, keperluan anak-anak serta keluarga di hari raya nanti serta kesibukan urusan duniawi kita seperti perniagaan, pekerjaan dan yang lain-lain. Ini adalah sesuatu yang amat merugikan kerana kita menyempitkan peluang kita untuk berjumpa dengan Lailatul Qadar dalam keadaan kita beramal-ibadat kepada Allah s.w.t. Siti Aishah r.a. menyatakan bahawa beliau yakin Lailatul Qadar itu datang pada malam 27 Ramadhan. Ulamak-ulamak yang lain pula berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu akan datang pada malam-malam ganjil di 10 terakhir seperti malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Walau apa pun pandangan dan pendapat mereka, luaskan peluang kita untuk bertemu dengan Lailatul Qadar ini dengan menyempurnakan serta memaksimakan amal-ibadat kita di setiap malam di 10 terakhir ini. Hidupkanlah malam-malam kita dengan qiyamullail, samada beriktikaf di masjid atau beribadat di rumah kita sendiri. (Nota: diharap tidak ada pihak-pihak yang memandang rendah, lekeh atau menyusahkan jika ada mana-mana jemaah tua atau muda yang ingin beriktikaf di surau. Berbaik sangkalah dengan mereka). Ada sesetengah ulamak menyatakan beribadat sepanjang malam itu bukanlah bermaksud kita betul-betul beribadat secara fizikal sepanjang-panjang malam tanpa tidur, rehat dan sebagaimananya kerana secara umumnya itu adalah di luar batasan kemampuan kita. Tetapi yang dimaksudkan beribadat sepanjang malam itu cukuplah sekadar kita bersembahyang terawih, sembahyang tahajjud beberapa rakaat serta bersahur. Memanglah Allah s.w.t. ini sangat pemurah dan besar rahmatNya, dengan ibadat yang sedikit ini sudah dikira dan diberikan ganjaran seolah-oleh kita beramal ibadat sepanjang malam. Cara beribadat mengikut kegemaran dan keselesaan masing-masing. Imam Abu Hanifah pernah menyatakan “kebaikan itu banyak cabang, masuklah mana-mana cabang yang kamu selesa dengannya. Maksudnya, jika kita hendak beramal, pilih lah amal-ibadat yang kita suka dan gemar serta selesa mengerjakannya. Ada orang lebih gemar membaca Al Quraan (memang ini yang terbaik) tetapi ada orang lebih gemar berzikir, bertafakkur serta mengingati Allah dengan cara yang begitu, bahkan ada orang lebih seronok bersembahyang sunat tak berhenti-henti. Pilihlah mana-mana amal kebaikan yang kita suka untuk menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan ini. InsyaAllah rahmat Allah, kasih-sayangNya serta anugerahNya akan menaungi kita. Pembebasan dari siksa api neraka Pada malam-malam terakhir begini Allah s.w.t. membebaskan dari azab siksa api neraka orang-orang yang nama-nama mereka sudahpun tertulis di pintu neraka sebagai ahli neraka, kerana amal-ibadah mereka. Malam-malam terakhir ini juga Allah s.w.t. melepaskan mereka dari siksa azab kubur. Jadi, kita ambillah peluang ini. Jangan kita jadi seperti orang-orang yang dapat masuk Ramadhan tetapi tetapi tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang tidak diampunkaan dosa-dosa mereka oleh Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t. banyak mengampunkan manusia di bulan Ramadhan ini dengan RahmatNya. Allah s.w.t. berfirman “sasih-sayangKu melebihi kemurkaanKu” dan “katakanlah (wahai Muhammad), Aku adalah Tuhan yang maha pengampun dan maha pengasih, dan aku juga mempunyai azab yang amat pedih.” Rahmat Allah s.w.t. sangat-sangat banyak di 10 terakhir Ramadhan ini, jangan sia-siakannya, dapatlah keampunan dari Allah s.w.t. serta pembebasan dari api neraka dan siksa kubur. Jangan tewas dengan dorongan hawa-nafsu Yang perlu kita buat ialah bersungguh-sungguh untuk beramal di malam-malam terakhir Ramadhan ini dengan amal-amal soleh yang kita senang dan selesa dengannya. Amat rugilah jika kita tak buat, tak beramal dan tewas dengan dugaan serta dorongan hawa nafsu. Tanda tewasnya kita dengan dorongan hawa nafsu itu ialah dengan sunyinya surau-surau dan masjid-masjid di malam-malam terakhir Ramadhan, yang pada awalnya penuh melimpah. Ini adalah kerana orang ke surau dan masjid untuk berterawih hanya kerana mengikut tradisi dan mengikut perbuatan orang lain, bukan dengan ketaqwaan dan kesediaan untuk menambah berat timbangan (MIZAN) amal-ibadatnya di akhirat nanti, supaya dapat menyelamatkan diri dari siksa api neraka, dapat masuk ke syurga Allah, perkampungan abadi yang kekal selama-lamanya. Ramadhan sebagai medan latihan Bulan Ramadhan adalah sebenarnya medan yang sebaik-baiknya untuk kita berlumba-lumba mencari pemburuan amal, berlumba-lumba untuk mencari kebaikan. Dan kita tidak perlu buat banyak, yang melebihi dari kemampuan kita. Amal yang disukai oleh Allah s.w.t. ialah amal yang berkekalan, walaupun sedikit. Teruskanlah ibadah-ibadah yang baaik-baik yang kita laksanakan di bulan Ramadhan ini hingga ke luar bulan Ramadhan. Jika kita dapat bersembahyang terawih di bulan Ramadhan, natijah dari latihan terawih itu semoga kita dapat sembahyang ba’diah isyak (2 atau pun sebaik-baiknya 4 rakaat) selepas bulan Ramadhan nanti. Jika di bulan Ramadhan ini kita sembahyang witir sebanyak 3 rakaat, apa salahnya selepas bulan Ramadhan nanti kita teruskan juga amalam witir ini, walaupun sekurang-kurangnya 1 rakaat (dikatakan 1 rakaat solat witir akan disambut oleh beribu-ribu malaikat). Penutup Semoga kita dapat melipat-gandakan amal kebaikan kita di malam-malam terakhir Ramadhan ini, yang penuh dengan rahmat dan anugerah dari Allah s.w.t. sebelum bulan Ramadhan ini berlalu pergi. Pastikan juga kita dapat berjumpa dengan Lailatul Qadar dalam keadaan kita beramal-ibadah kepada Allah. Dan janganlah kita tewas dengan dorongan hawa nafsu dan kesibukan dunia di malam-malam terakhir Ramadhan ini yang akan menyebabkan kita hilang fokus dan tumpuan untuk beramal kepada Allah s.w.t. Akhir sekali, jadikanlah Ramadhan ini sebagai medan itu kita melatih diri untuk istiqomah dan meneruskan amalan-amalan yang baik selepas bulan Ramadhan nanti. Semoga kita dapat berjumpa lagi dengan Ramadhan tahun hadapan. InsyaAllah.

Thursday, 17 July 2014

SAMBUTAN NUZUL AL QURAAN

Sempena dengan kedatangan Nuzul Al Quraan pada kali ini, Surau Taman Selasih akan mengadakan beberapa aktiviti di surau pada hari Sabtu 19 Julai 2014 ini. Di antaranya ialah majlis berbuka puasa MEGA. Ini akan diikuti dengan Tazkirah Ramadhan yang akan disampaikan oleh YBhg Ustaz Mohd Nasir. Selepas itu, tadarrus Al Quraan dan Qiyamullail. Pada pagi Ahad 20 Julai 2014, Kuliah Subuh akan diadakan, bagi mengakhiri sambutan Nuzul Al Quraan pada kali ini. Pihak surau dengan ini menjemput semua jemaah jauh dan dekat untuk hadir beramai-ramai bagi menambahkan lagi kemeriahan sambutan Nuzul AL Quraan 1435H ini.

Thursday, 3 July 2014

RUMUSAN TAZKIRAH RAMADHAN OLEH USTAZ SUHAIMI DI SURAU TAMAN SELASIH PADA 3 JULAI 2014

Ada 5 cara bagaimana Allah memberikan kita peluang untuk menjadi orang-orang yang bertaqwa melalui ibadah puasa: 1. Ditingkatkan serta dilipat-gandakan pahala amal ibadah di bulan Ramadhan supaya kita berlumba-lumba untuk mengerjakannya 2. Diturunkan Al Quraan pada bulan Ramadhan 3. Sahur, sebagai desakan untuk bangun malam dan berqiyamullail 4. Sembahyang terawih, yang memang tidak ada di bulan-bulan yang lain. 5. Kewajipan zakat fitrah,orang yang paling kedekut pun terpaksa "bersedekah" Rencana penuh akan ditampalkan di papan kenyataan Surau

Friday, 27 June 2014

AHLAN WASAHLAN YAA RAMADHAN AL MUBARAK

Surau Taman Selasih ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua. Semoga Ramadhan kali ini akan lebih baik dari tahun-tahun yang sudah. Banyakkan beramal ibadat, membaca Al Quraan, bertadarrus dan bertadabbur. Selamat mengerjakan ibadat solat terawih. Ambillah peluang Ramadhan ini untuk meminta keampunan dari Yang Maha Esa. Semoga kita semua bertemu dengan Lailatul Qadar dalam keadaan kita sedang beramal.....amin

Monday, 23 June 2014

KELEBIHAN DAN KEBESARAN RAMADHAN - TUAN GURU DATO' DR HAJI HARON DIN AL HAFIZ

KELEBIHAN DAN KEBESARAN RAMADHAN Tuan Guru Ustaz Dato’ Dr Haji Haron Din Al-Hafiz (Petikan ceramah perdana oleh Tuan Guru di Surau Taman Selasih pada 18 Jun 2014 (20 Syaaban 1435H) sempena dengan program Lambaian Ramadhan) Muqaddimah Kita sudah berada di ambang Ramadhan. Dalam masa 10 hari saja lagi kita akan menerima kedatangan bulan Ramadhan yang mulia lagi barakah. Kedatangan Ramadhan pada kali ini bermakna umur kita bertambah lagi 1 tahun dan kita semakin dekat hari pertemuan dengan Allah s.w.t. Bulan Ramadhan adalah anugerah Allah yang sangat besar kepada insan. Sebab itu setiap kali datangnya bulan Rejab dan Syaaban, Nabi Muhammad s.a.w. sentiasa berdoa “Ya Allah, tambahkanlah keberkatanMu di bulan Rejab dan Syaaban yang kami akan lalui, dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”. Mengapa Hendak Sangat Sampai Kepada Bulan Ramadhan? Nabi Muhammad s.a.w. tahu tentang kehebatan bulan Ramadhan kerana Baginda diberitahu oleh Allah tentang kehebatannya. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. “kalaulah insan mengetahui dengan mendalam tentang kelebihan-kelebihan yang Allah sediakan dalam bulan Ramadhan, nescaya tentu mereka akan berkira-kira, memohon dan berharap kepada Allah supaya semua kehidupan ini, bulan-bulan lain, hari-hari yang mereka lalui, biarlah semuanya Ramadhan belaka”. Contoh yang kita boleh ambil sebagai perbandingan Ramadhan ialah bazar Ramadhan, di mana ketika orang berpuasa dan perutnya lapar, semua hidangan lauk-pauk dan juadah nampak sedap, dan akan membeli segala juadah makanan dan minuman yang disediakan oleh penjual itu sampai habis. Tentunya penjual-penjual di bazar Ramadhan akan sentiasa berharap biarlah bulan Ramadhan ini ada setiap hari, selama-lamanya, kerana keuntungan perniagaan mereka berlipat-kali ganda di bulan Ramadhan. Terlalu banyak kelebihan-kelebihan di bulan Ramadhan. Salah satunya Nabi Muhammad s.a.w. pernah menyebut “Aku akan rasa hairan dan ajaib kalau ada orang yang sempat hidup di sepanjang bulan Ramadhan, yang tidak melakukan semua perkara yang membolehkan Allah mengampunkan dosanya, dan Ramadhan itu berlalu pergi tanpa Allah s.w.t. mengampunkan dosanya”. Ini adalah kerana bulan Ramadhan ialah Shahrul Kaffarah iaitu bulan di mana Allah mengampunkan dosa-dosa hambaNya. Jadi sangat rugilah jika seseorang itu sempat hidupsepanjang bulan Ramadhan tetapi dia tidak mendapat keampunan dari Allah tentang dosa-dosa dia. Bulan Ramadhan juga merupakan bulan anugerah yang berlipat-kali ganda hebatnya. Seseorang yang mengambil peluang untuk berbuat amal di bulan Ramadhan, di mana siangnya dia berpuasa dan malamnya dia berqiyamullail, Allah s.w.t. akan memberikan ganjaran pahala yang banyak kepadanya. Maksud qiyamullai di sini bukanlah bermakna kita kena beribadat sepanjang malam tetapi bermaksud “sesiapa yang pergi ke masjid/surau untuk bersembahyang isyak dan bersembahyang terawih (tak kiralah samada 8 rakaat atau 20 rakaat) sehingga sampai ke salam yang terakhir bersama dengan imam, Allah tulis untuk dia pada malam itu, dia telah beribadat (berqiyamullail) sepanjang malam. Kalaulah tiap-tiap malam dia dapat berbuat demikian (sembahyang isyak dan terawih di masjid/surau hingga ke salam terakhir bersama dengan imam), sudah pasti ada 1 malam dia akan kena/jumpa dengan Malam Qadar (Lailatul Qadar) yang kelebihannya, sebagaimana yang telah diketahui umum, ianya adalah lebih baik dari beribadat sepanjang malam selama 1000 bulan (iaitu 83 tahun). Begitualh hebatnya barakah di bulan Ramadhan ini. Barakah bermaksud kebaikan yang berganda, redha Allah yang berganda, rezeki yang berganda, keuntungan yang berganda). Kebimbangan yang perlu ada kepada kita sebagai orang-orang yang beriman Nabi Muhammad s.a.w. pernah menyebut “mukmin sebenar tidak boleh lari dari dia memikirkan tentang 2 kebimbangan”. Kebimbangan yang pertama Yang pertama kita perlu bimbang dan takut tentang umur kita yang sudah kita lalui, dari mula kita baligh sampailah ke sekarang, amalan-amalan kita, kebajikan kita, kebaikan-kebaikan kita, Allah terima ke tidak? Apa yang Allah buat dengan amalan-amalan kita selama ini? Harap-harap janganlah kita jadi seperti orang yang diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. ini : orang yang mendustakan agama ialah mereka yang bila mereka berbuat baik, bukan kerana Allah, tetapi kerana hendak menunjuk-nunjuk, yang boleh membawa kepada riya’ dan syirik, dan tidak diampuni oleh Allah s.w.t. Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. apabila selesai satu peperangan tentang orang yang berjuang berhabis-habisan bersama Rasulullah s.a.w tetapi dengan sebab yang berbeza. Yang pertama dia ingin menjadi wira yang hebat. Yang kedua dia ingin mendapat balasan dunia dengan harta rampasan perang dan sebagainya. Yang ketiga dia berjuang di atas semangat kebangsaan bangsa Arab (atau dalam konteks kita hari ini, bangsa Melayu). Daripada yang ketiga-tiga ini, sahabat bertanya, yang manakah berjuang fi sabi lillah. Rasulullah s.a.w menjawab, satu pun tidak termasuk dalam kategori fi sabi lillah. Yang akan mendapat gelaran atau anugerah fi sabi lillah ialah mereka yang tekad berjuang semata-mata untuk menegakkan serta meninggikan kalimah Allah. Allah menyebut di dalam Al Quraan “Banyak manusia akan bangun nanti di hari akhirat untuk menanti kitab amalan mereka. Kami bentangkan apa sahaja amalan-amalan mereka. Kami jadikan semua amalan-amalan mereka (yang mereka sangka amalan-amalan yang baik) seperti mana habuk yang diterbangkan oleh angin yang kencang” yang memberi erti amalan-amalan mereka yang mereka sangka baik itu tidak menjadi sesuatu yang bernilai kepada Allah. Puasa bukanlah sekadar menahan diri dari makanan semata-mata bahkan lebih dari itu. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda “barang siapa yang berpuasa sekadar menahan diri dari makan sahaja, tetapi mulutnya jahat, perangainya buruk, hatinya busuk, masih melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak baik, Allah tidak berhajat kepada dia berpuasa pada hari itu”. Nabi juga ada menyebut “kita tidak disuruh untuk beribadat atau tunduk kepada Allah melainkan jika kita ikhlas kepada agama Allah”. Yang ikhlas ini amat jarang. Jadi, perlulah kita bimbang, umur kita yang setahun baru lepas ini, Allah terima atau tidak amalan-amalan kita. Kita beramallah dengan ilmu. Kebimbangan yang kedua Kebimbangan yang kedua yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang perlu ada pada setiap mukmin yang sebenar ialah bimbang juga tentang umur kita yang masih berbaki, yang akan datang dan yang akan kita lalui nanti. Apakah qada’ dan qadar Allah kepada kita. Adakah kita akan mati sebagai seorang yang beriman kepada Allah s.w.t. atau tidak. Jika kita tidak lulus ujian Allah di dalam kehidupan kita yang berbaki ini, mati kita nanti dalam keadaan suu ul khatimah (pengakhiran yang buruk). Yang kita hendak dan berharap-harap biarlah Allah qadarkan kita mati dalam keadaan husnul khatimah, iaitu pengakhiran yang baik. (Nota : berkaitan dengan perkara ini, Tuan Guru tiba-tiba teringat tentang kematian ibu beliau, yang meninggal dalam bulan Ramadhan – tetapi tidak disebut di mana dan tahun bila – di rakaat keempat sembahyang terawih, ibu Tuan Guru sujud dan tidak bangun-bangun lagi. Ibu Tuan Guru sudah pergi dijemput oleh Allah s.w.t. Kita boleh andaikan inilah husnul khatimah yang diimpikan oleh semua). Barang siapa yang direzekikan kepada mereka anak, bapa hendaklah membisikkan azan ditelinga kanan dan iqamat di telinga kiri. Mana-mana anak kecil yang diazankan dan diiqamatkan, anak itu tidak akan dapat dimudaratkan oleh makhluk halus. Anak itu masih tidak boleh mendengar dan tidak boleh melihat. Azan dan iqamat itu bukanlah untuk anak itu tetpai sebenarnya untuk roh dia yang telah membuat perjanjian dengan Allah s.w.t. sebelum dia lahir ke alam dunia ini, sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam Al Quraan “ ingatkah ketika Tuhan memeterai satu perjanjian dengan roh anak Adam sebelum dihantar ke alam dunia? Tidakkan Aku Tuhan yang kamu akan sembah? Ya, kami menjadi saksi kami akan menyembah Kamu, kami tidak akan mendakwa di hari kiamat nanti bahawa kamu tidak memperingati kami”. Melahirkan anak adalah kerja Allah sebagaimana firmanNya “Allahlah yang akan melahirkan kamu dari perut-perut ibu kamu, selepas beberapa ketika Allah kurniakan pendengaran, kemudian penglihatan, dan kemudian perasaan. Tapi sayang, sedikit sangat manusia yang beriman dan bersyukur kepadaKu”. Yang paling banyak akan mengingkari dan mengkufuri Allah s.w.t. Umur kita yang berbaki lagi ini, yang akan kita lalui ini, kita tanyalah diri kita apakah qada’ dan qadar yang telah Allah tetapkan kepada kita? Kita tidak mahu menjadi orang yang jatuh imannya, tetapi muttakahir ini iman menjadi mudah jatuh, ramai yang tidak tahan dan gagal dengan ujian Allah. Nabi Muhammad s.a.w. pernah menyebut, “mukmin yag hakiki mesti kena tempuh 5 cabaran. Salah-satunya ialah orang yang dengki dengan kejayaan kita”, iaitu orang yang tidak senang melihat kita senang. Contohnya dalam hal yang berkaitan dengan hudud. “Tilka hududullah”, hal agama kita, suruhan Allah s.w.t. Nabi Muhammad menyebut, bila kamu hendak meninggikan kalimah Allah, menegakkan agama Allah, orang munafiq akan menghalang kamu. Jadi kita tanyalah diri kita samada kita hendak pengakhiran kita, mati kita, sebagai penentang Islam atau sebagai penjunjung Islam? Kalau kita mati dalam mempertahankan Islam, kita mati syahid, syahid dunia dan syahid akhirat. Penutup Ambillah kesempatan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia dan penuh dengan barakah ini dengan sebaik-baiknya. Di siang hari kita berpuasa, jagalah puasa kita dengan baik. Di malam hari kita bersembahyang terawih, janganlah ditinggalkan walau sekali pun di bulan yang mulia ini. Sekiranya ini dapat kita laksanakan, selepas bulan Ramadhan nanti, kita boleh diibaratkan seperti anak yang baru lahir, yang bersih dan suci murni, dan kita mendapat janji Allah bahawa “kamu sudah dibebaskan dari azab api neraka. Itulah kejayaan yang paling besar”.